KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2025 di ibu negara mulai Selasa ini bakal menyediakan platform kerjasama strategik dalam membina sistem kesihatan berdaya tahan dan mampan.
Persidangan global yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu dianjurkan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama KPJ Healthcare Berhad, menghimpunkan pakar dan tokoh kesihatan daripada United Kingdom, Amerika Syarikat, Belgium, Korea Selatan, Belanda, Indonesia, Arab Saudi dan Malaysia.
KPJ Healthcare Berhad dalam kenyataan memaklumkan program tiga hari itu akan membincangkan mengenai penjagaan dan pembaharuan sistem dalam perkhidmatan kesihatan untuk merangka sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih berkesan.
“Program ini berteraskan kelestarian, penyakit tidak berjangkit (NCD) dan kesihatan awam, selaras keperluan untuk penyelesaian jangka panjang yang memperkukuh pencegahan, menambah baik kualiti kesihatan dan menyokong sistem kesihatan lebih berdaya tahan, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai sebuah hab dialog kesihatan serantau yang semakin berkembang,” menurut kenyataan itu.
Bertemakan ‘Berinovasi Demi Masa Depan Lebih Sihat dan Lestari’, KPJ Healthcare Berhad memaklumkan tema itu mengangkat keperluan global yang semakin meningkat untuk memperkukuh kesiapsiagaan, kemampuan kos dan daya tahan jangka panjang ketika sistem kesihatan berdepan pelbagai perubahan.
KPJ Healthcare Berhad memaklumkan MIH 2025 menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan reformasi kesihatan Malaysia seperti digariskan dalam dokumen Kertas Putih Kesihatan.
Antara pengisian MIH 2025 ialah forum merentas disiplin yang membincangkan bidang utama seperti perubatan diperibadikan berasaskan AI, pelaksanaan penjagaan kesihatan berasaskan nilai, inovasi onkologi, tadbir urus iklim dan kesihatan, etika digital, neurosains dan perancangan sistem yang mampan.
“Sesi-sesi ini memberi tumpuan kepada respons sistem kesihatan terhadap perubahan demografi, peningkatan penyakit kronik, tekanan alam sekitar dan perkembangan teknologi yang pantas, sambil menggalakkan model penjagaan yang lebih bersepadu serta berorientasikan pesakit,” tambahnya.
Acara itu turut disokong oleh Pameran Inovasi MIH mempamerkan teknologi perubatan terkini, diagnostik, platform digital, amalan lestari serta pendekatan baharu dalam latihan profesional.
Hari terakhir persidangan MIH 2025 dibuka kepada orang awam, dengan pendaftaran dan maklumat program boleh diakses di www.mihmegatrends.my.
Antara pakar yang dijangka hadir ialah Pengarah The Medical Futurist Institute Dr Bertalan Mesko, Pakar neurosains Dr Boris Konrad dari Radboud University Medical Center Belanda, Pakar onkologi molekul dan kesihatan digital dari Belgium Prof Dr Koen Kas dan lain-lain.
Turut dijangka hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) dan Pengerusi KPJ Healthcare Universiti Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib.
Orang ramai boleh mengikuti persidangan yang akan disiarkan secara langsung melalui program MIH Live+ itu di platform Facebook rasmi KPJ Healthcare Berhad.
-- BERNAMA
