PUTATAN, 22 Nov (Bernama) -- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terus memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan serta pembangunan golongan belia di Sabah.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul berkata NADI kini bukan sekadar tempat untuk mengakses Internet, sebaliknya menjadi ruang pembelajaran kondusif, serta tempat anak muda memperoleh bimbingan, membina kemahiran, dan membuka peluang kerjaya baharu.
“Penglibatan belia Sabah dalam program Perkhidmatan Pintar anjuran NADI seperti pertandingan keselamatan siber, penyertaan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kreatif, serta kejayaan usahawan muda negeri mengembangkan produk tempatan melalui latihan keusahawanan NADI, membuktikan impak positif NADI.
“Kisah kejayaan ini menunjukkan potensi besar belia Sabah apabila diberikan ruang, sokongan, dan persekitaran pembelajaran yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di NADI Kampung Kopimpinan di sini hari ini.
Johari turut menyatakan hasrat beliau untuk melihat NADI berkembang sebagai platform utama melatih generasi muda memahami demokrasi dan proses membuat keputusan negara.
“Saya difahamkan setakat September 2025, sebanyak 131 Pusat NADI kini beroperasi di seluruh Sabah dengan jumlah kos operasi kira-kira RM210 juta bagi tempoh lima tahun.
“Melalui inisiatif seperti Program Sekolah Parlimen, Parlimen Belia, dan kerjasama dengan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), saya yakin NADI mampu menjadi pusat rujukan kepimpinan yang melahirkan belia berani bersuara, berfikir secara kritikal, dan mampu mewakili masyarakat pada masa hadapan,” tambahnya.
Johari menekankan bahawa pembangunan belia mesti seimbang antara penguasaan teknologi dengan pembentukan nilai diri, etika digital, serta tanggungjawab sebagai warganegara.
-- BERNAMA
