JENAYAH & MAHKAMAH

PEMANDU TRELER DITAHAN, 35,000KG MINERAL DIRAMPAS DI LANCHANG

21/11/2025 10:19 PM

KUANTAN, 21 Nov (Bernama) -- Seorang pemandu treler yang membawa 35,000 kilogram (kg) muatan disyaki mineral jenis “feldspar” ditahan di hadapan sebuah sekolah di Lanchang, Temerloh.

Pasukan Gerakan Am (PGA) Bridged Tenggara dalam kenyataan memaklumkan treler yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun itu, ditahan menerusi OPS Bersepadu Khazanah yang dilaksanakan Batalion 7 bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), kira-kira 5 petang Rabu lepas.

“Hasil pemeriksaan terdapat 35,000kg mineral berada di belakang treler tersebut, manakala dokumen yang ditunjukkan oleh pemandu berkaitan mineral yang dibawa agak meragukan dan disyaki diperolehi secara menyalahi undang-undang,” menurut kenyataan itu.

PGA memaklumkan siasatan awal turut mendapati lelaki itu merupakan pemandu di sebuah syarikat pengangkutan, yang menawarkan khidmat mengangkut barang mengikut permintaan penyewa. 

Lelaki terbabit dan barang rampasan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM428,000 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh untuk tindakan lanjut UPNP.

Kes disiasat mengikut Seksyen 153 Enakmen Mineral 2001 Pahang.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan