KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berada pada US$124.1 bilion setakat 14 Nov, 2025 berbanding US$123.8 bilion yang dicatatkan semasa 31 Okt, 2025.
Bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata kedudukan rizab berkenaan cukup untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 0.9 kali jumlah hutang luar jangka pendek.
Komponen utama rizab merangkumi mata wang asing (US$109.6 bilion), rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$1.3 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (US$5.9 bilion), emas (US$4.8 bilion) dan aset rizab lain (US$2.5 bilion).
Jumlah aset adalah sebanyak RM617.78 bilion, yang terdiri daripada pertukaran emas dan mata wang asing serta rizab lain termasuk SDR (RM522.91 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM13.42 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.24 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM28.13 bilion), tanah, bangunan dan aset tetap lain (RM4.56 bilion) dan aset lain (RM47.50 bilion).
BNM berkata jumlah modal dan liabiliti adalah sebanyak RM617.78 bilion, yang terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM203.70 bilion), mata wang dalam edaran (RM174.31 bilion), deposit institusi kewangan (RM125.46 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM9.14 bilion), deposit lain (RM65.60 bilion), kertas Bank Negara (RM8.39 bilion), peruntukan SDR (RM27.87 bilion) dan liabiliti lain (RM3.19 bilion).
-- BERNAMA
