AM

POLITEKNIK BAGAN DATUK DIMASYHURKAN SEBAGAI POLITEKNIK MARITIM SULTAN NAZRIN SHAH

20/11/2025 01:05 PM

BAGAN DATUK, 20 Nov (Bernama) -- Politeknik Bagan Datuk hari ini dimasyhurkan sebagai Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah.

Pemasyhuran itu disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang berkenan berangkat ke majlis tersebut di politeknik berkenaan.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah. 

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. 

Zambry dalam sembahnya ucapan berkata Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah merupakan politeknik ke-35 negara, dan ditubuhkan pada Disember 2016.

Beliau berkata penubuhan politeknik itu berteraskan visi untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maritim.

"Pengambilan sulung tahun 2017 melalui Diploma Seni Bina Kapal menjadikannya satu-satunya politeknik TVET yang memfokuskan maritim dan perkapalan.

"Hari ini, politeknik ini berdiri megah di atas 12.14 hektar, dibangunkan dengan kos RM175 juta, dan siap sepenuhnya pada 2023," katanya.

Menurutnya, politeknik tersebut kini menjadi mercu ilmu yang mencerminkan tekad kerajaan memperkasa TVET maritim negara.

“Penubuhan ini seiring aspirasi Malaysia MADANI dan agenda Ekonomi Biru untuk memperkukuh kelestarian laut serta teknologi maritim masa hadapan,” katanya.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan melawat pameran mengenai sejarah dan pencapaian politeknik berkenaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan