AM

JAMBATAN TAMPARULI IBARAT 'JIWA-JIWA SABAH' BUAT MASYARAKAT SETEMPAT

20/11/2025 12:58 PM

Oleh Lucia Terrey Anak John

TUARAN, 20 Nov (Bernama) -- Kunjungan ke Sabah bagai tidak sempurna andai tidak menjejakkan kaki di Jambatan Gantung Tamparuli, sebuah ikon pelancongan yang sinonim sebagai 'jiwa' dan nafas kehidupan masyarakat setempat

Keunikan jambatan ini turut diabadikan melalui lagu nyanyian Justin Lusah, yang bukan sahaja sinonim dalam kalangan penduduk tempatan, malah terkenal dalam kalangan pelancong dari Semenanjung sehingga ada yang mampu menyanyikannya secara spontan.

“Pak pak kang ku doh (Pak pak saya melangkah)

Sumunsui doh jambatan (Menyusur hai jambatan)

Jambatan doh Tamparuli (Jambatan si Tamparuli)

Bakasut tinggi oku (Saya berkasut tinggi)"

Bagi masyarakat di pekan kecil itu, liriknya membawa makna mendalam kerana melambangkan perjalanan kehidupan mereka yang berpuluh tahun bergantung pada jambatan gantung berkenaan untuk ke sekolah, pasar atau menjalani rutin harian.

Berdiri megah merentasi Sungai Kiulu, Jambatan Gantung Tamparuli yang dibina pada era 1930-an kekal menjadi penghubung penting atau lifeline sehingga hari ini bagi memastikan pergerakan orang ramai tidak terputus terutama apabila laluan bawah dan jambatan alternatif untuk kenderaan ditenggelami banjir atau mengalami kesesakan trafik teruk.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Advent Tamparuli, Nuraisyah Amira Abdullah, 13, sebagai contoh, menganggap jambatan itu bukan sekadar laluan tetapi ‘penyelamat’ kerana hampir setiap hari membantunya dan rakan-rakan tiba ke sekolah tepat pada masanya.

“Guna jambatan ini lebih cepat, hanya berjalan beberapa minit sudah sampai. Dulu saya ikut ibu saudara naik kenderaan melalui laluan bawah, banyak kereta dan bila banjir tak boleh lalu, jadi jambatan ini satu-satunya cara untuk ke sekolah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Nuraisyah Amira, guru-guru sekolahnya juga kerap menggunakan jambatan itu untuk mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan terutama pada waktu puncak, sekitar 6.30 pagi dan 1 tengah hari.

“Semua orang perlukan jambatan ini. Kalau saya perlu ringkaskan kepentingannya dalam satu ayat saya katakan ia ‘Jiwa-Jiwa Sabah’ sebab ia benar-benar penyelamat kami di sini,” katanya yang tinggal bersama ibu saudaranya di Kampung Kapa, kira-kira 10 kilometer dari sekolah.

Kebergantungan terhadap jambatan itu turut dikongsi oleh peniaga sayur di Pekan Tamparuli, Yulianti Simon, 40, yang menyifatkannya sebagai laluan rezeki sejak lebih 15 tahun berniaga.

Berulang-alik dari Kampung Pangasaan dua kali seminggu untuk berniaga di Pasar Tamparuli, Yulianti membawa hasil tanamannya seperti sawi, terung, peria dan timun dengan hanya menggunakan wakid iaitu beg galas diperbuat daripada buluh merentasi jambatan terutamanya apabila jumlah barang tidak terlalu banyak.

“Di kampung, saya menyewa sebidang tanah untuk bercucuk tanam. Dari situ, saya dapat pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan untuk membantu keluarga,” katanya.

Tidak hanya kepada pelajar dan peniaga, jambatan itu juga menguntungkan penggiat seni seperti Mary Jane, 19, daripada Persatuan Seni Budaya Tuaran (PESTA) yang menganggapnya bukan sekadar mercu tanda ikonik, malah sebagai nadi yang menggerakkan aktiviti kebudayaan melalui kedatangan pelancong yang tidak putus-putus.

“Setiap hari kami membuat persembahan tarian dan alat muzik di kaki jambatan ini kerana mahu seni budaya tempatan terus hidup dan inisiatif ini dibiayai melalui sumbangan pelancong menerusi kotak sumbangan yang turut digunakan untuk membantu kerja pembaikan struktur Jambatan Tamparuli,” katanya.

Menyedari nilai sejarah dan potensinya sebagai tarikan pelancong, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli sebelum ini telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memberi wajah baharu kepada jambatan berkenaan.

Antaranya termasuklah menghiasi tiang jambatan dengan mural bercorak etnik Sabah, sekali gus menambah nilai pekan itu yang sering menjadi laluan utama menuju ke Taman Kinabalu di Kundasang selain memasang lampu solar supaya selamat dikunjungi pada waktu malam.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Jahid yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak mempertahankan kerusi yang disandang selama empat penggal.

Beliau digantikan oleh bekas pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah Dr Bonaventure Boniface mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berdepan saingan 13 penjuru. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sabah ke-17 yang membabitkan 73 kerusi, manakala undi awal pada 25 Nov.

 

N14: TAMPARULI: SABAH:  26,767

1. Julia Ongkili                                           (PIS)

2. Jinitoh Sontori                                         (STAR)

3. Arthur Erik Lee                                         (Anak Negeri)

4. Andrew Mali                                              (Bebas/IND)

5. Lee Han Kyun @ Joseph Lee                  (Warisan)

6. Vun Yun Fook                                           (Bebas/IND)

7. Johan Jahid                                              (Bebas/IND)

8. Samson S.koroh @ Razali Suffian           (Bebas/IND)

9. Raymond Alfred @ Jenry                         (Bebas/IND)

10. Datuk Seri Madius Tangau                     (UPKO)

11. Aliusus Sipil @ Abdul Aziz                      (Rumpun)

12. Dr Gaim @ James Lunkapis                  (KDM)

13. Prof Madya Dr Bonaventure Boniface    (GRS-Gagasan Rakyat)

 

(2020: Datuk Jahid Jahim: PBS: Maj: 3,517)

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan