KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Malaysia menekankan pelaksanaan 141 tindakan di bawah 16 keutamaan strategik melalui Dasar dan Pelan Tindakan Kanak-Kanak Negara 2026–2030 bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata pelan tindakan baharu itu menyediakan hala tuju jelas untuk mengembalikan dan memperkukuh hak kanak-kanak, khususnya mereka yang berisiko, dalam persekitaran selamat, inklusif dan berdaya tahan.
“Perkembangan teknologi membawa peluang, tetapi turut meningkatkan risiko seperti buli siber, eksploitasi, pemangsa dalam talian serta ancaman emosi terhadap kanak-kanak.
“Cabaran digital tidak berhenti di sempadan negara. Kita perlu bekerjasama, berkongsi amalan terbaik dan membina ekosistem digital selamat merentasi seluruh rantau,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Forum ICT ASEAN 2025 mengenai perlindungan kanak-kanak dalam talian serta pelancaran Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan (2026-2030)
Nancy menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak memerlukan komitmen bersepadu melibatkan keluarga, guru, komuniti, NGO dan sektor swasta.
Beliau berkata masih ramai ibu bapa dan guru kurang menyedari risiko dalam talian yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Mengulas peningkatan kes eksploitasi seksual dalam talian, beliau berkata tren itu didorong oleh tahap kesedaran yang semakin meningkat selain kewujudan ruang baharu yang dimanfaatkan pemangsa.
Golongan berumur 15 hingga 24 tahun berisiko tinggi kerana sebahagian mereka berada di luar sistem pendidikan, latihan atau pekerjaan.
“Ini menekankan keperluan memperkasakan penyertaan kanak-kanak supaya mereka bukan sahaja dilindungi, tetapi juga memahami perkembangan digital dan mampu membuat keputusan selamat,” katanya.
Sementara itu, mengenai forum dua hari yang bermula hari ini, Nancy berkata penganjurannya bertujuan meningkatkan kefahaman pihak berkaitan dan memastikan dasar baharu relevan serta efektif.
-- BERNAMA
