AM

SLD DIKUAT KUASA, PERHEBAT OPERASI TANGANI MUATAN BERLEBIHAN

17/11/2025 07:40 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Kerajaan kini menguatkuasakan pemasangan peranti had laju (SLD) secara berfasa ke atas kenderaan perdagangan bagi memastikan lori dan bas mematuhi had laju di jalan raya.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) berkata inisiatif itu yang bermula 1 Okt lepas bertujuan mengurangkan risiko kemalangan maut akibat pemanduan melebihi had laju.

“Langkah ini disokong dengan cadangan insentif fiskal melalui Belanjawan 2026, iaitu Elaun Modal Dipercepatkan dalam tempoh setahun bagi meringankan kos pemasangan atau penalaan SLD di pusat bertauliah,” katanya yang turut mempengerusikan Mesyuarat JK-MKKJR kali ketujuh hari ini.

Ahmad Zahid berkata kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan juga sedang meningkatkan operasi bersepadu di enam zon utama, iaitu utara, tengah, selatan, timur serta Sabah dan Sarawak bagi menangani isu kenderaan membawa muatan melebihi tahap dibenarkan.

Beliau berkata kaedah penguatkuasaan baharu turut diperkenalkan termasuk tindakan “three strikes out” yang membolehkan lesen dan permit syarikat kenderaan berat digantung sekiranya mereka berulang kali melakukan kesalahan membawa muatan berlebihan.

“Bagi menyokong penguatkuasaan, penggunaan teknologi timbang automatik Weigh-in-Motion (HS-WIM) akan dipertingkatkan dan pemeriksaan muatan telah diwajibkan di pintu masuk pelabuhan bermula 1 Julai 2025.

“Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko kemalangan maut, memelihara integriti jalan raya serta infrastruktur negara dan membina budaya pematuhan kepada undang-undang,” katanya.

Ahmad Zahid berkata bagi tempoh Januari hingga 30 Sept tahun ini, sebanyak 4,875 kematian akibat nahas jalan raya direkodkan, dengan purata 18 nyawa terkorban setiap hari, berbanding purata 17 kematian setiap hari pada tahun lepas, peningkatan yang amat membimbangkan dan menuntut langkah penguatkuasaan lebih tegas. 

Beliau berkata mesyuarat hari ini turut menyentuh usaha kerajaan menerusi Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM13 bilion bagi menaik taraf dan melebarkan jalan persekutuan serta negeri, selain RM2.5 bilion untuk kerja penyelenggaraan, penurapan semula jalan rosak serta pemasangan 3,000 unit lampu LED di hotspot kemalangan di lebuh raya.

Selain itu, kerajaan turut bersetuju melaksanakan beberapa langkah penting termasuk penambahbaikan saringan kesihatan pemandu kenderaan perdagangan dan Pelan Hala Tuju Intelligent Traffic System (ITS) Malaysia 2030, yang akan menyokong agenda nasional ke arah sistem pengangkutan lebih pintar, selamat, cekap dan mampan.

Ahmad Zahid berkata keselamatan jalan raya menuntut tanggungjawab bersama dan tidak boleh disandarkan pada satu agensi sahaja, sebaliknya menuntut koordinasi antara kementerian, dasar berasaskan data serta keberanian membuat keputusan demi kelangsungan sistem pengangkutan negara.

“Saya percaya bahawa apabila rakyat diberi kefahaman dan pilihan yang baik, mereka akan bersama-sama membentuk budaya mobiliti baharu yang lebih cekap, selamat dan berdaya tahan,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan