SUKAN

ATLET BOLING PADANG NEGARA TERIMA 'DURIAN RUNTUH'

17/11/2025 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Empat atlet boling padang negara menerima insentif berjumlah RM50,000 daripada syarikat korporat SD Guthrie Berhad atas kejayaan meraih satu pingat emas dan tiga gangsa pada Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 baru-baru ini.

Majlis penyampaian insentif kepada Emma Firyana Saroji, Nurul Alyani Jamil, Izzat Shameer Dzulkeple dan Jariah Zakaria disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.

Lebih bermakna apabila majlis itu turut mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga Penaung Diraja Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, yang menyaksikan upacara itu berlangsung di Istana Terengganu, Kuala Lumpur hari ini.

Emma, yang merangkul pingat emas perseorangan wanita berkata insentif itu menjadi dorongan untuk terus mencipta lebih banyak kejayaan buat negara.

“Tahun depan kita ada Sukan Komanwel di Glasgow, jadi ini macam dorongan untuk kami dan saya bertekad akan buat lebih baik pada temasya itu,” katanya.

Pada aksi final di Stadium Juara, Bukit Kiara, 8 Nov lepas, ratu boling padang negara itu menewaskan wakil England Katherine Rednall 5-5, 6-5 untuk meraih emas, sekali gus membantu Malaysia bergelar juara keseluruhan pada edisi sulung Piala Dunia itu.

Tiga lagi pingat gangsa negara disumbangkan Nurul Alyani (Perseorangan Wanita), Izzat Shameer (Perseorangan Lelaki) dan Jariah (Perseorangan Para Wanita).

Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia Datuk Awalan Abdul Aziz berkata kejayaan pasukan negara merangkul gelaran juara keseluruhan adalah diluar jangkaan, memandangkan sasaran awal hanyalah untuk berada dalam kedudukan tiga terbaik.

“Semangat juang pemain menjadi kunci kejayaan dan kerja keras serta pengorbanan mereka wajar di balas dengan insentif,” katanya. 

Beliau berkata Piala Dunia untuk boling padang masih baharu dan belum berdaftar dalam Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), namun untuk menghargai kejayaan atlet, usaha telah dilakukan bagi mendapatkan sokongan dan SD Guthrie tampil membantu.

Syarikat korporat itu juga adalah penaja kejohanan yang berlangsung pada 3 hingga 8 Nov lepas. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan