EKONOMI

MWE 2025 JANA JUALAN EKSPORT RM177.56 JUTA MELALUI KERJASAMA MATRADE–MTC

17/11/2025 03:33 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), dengan kerjasama Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), meraih eksport bernilai RM177.56 juta melalui program penyumberan antarabangsa yang diadakan sempena Ekspo Kayu Malaysia (MWE) 2025.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata MWE 2025 yang berlangsung selama dua hari pada 10 Nov itu mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai platform utama untuk memajukan industri kayu-kayan dan produk berasaskan kayu Malaysia.

Sempena ekspo itu juga, MATRADE dan MTC telah memudah cara 358 mesyuarat perniagaan yang melibatkan 50 pengeksport Malaysia dan 78 pembeli asing dari 27 negara, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata perkongsian strategik adalah penting dalam memacu pertumbuhan eksport yang mampan untuk industri Malaysia.

“Kolaborasi ini menunjukkan bagaimana usaha kolektif dapat melonjakkan industri perkayuan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“Eksport kayu-kayan dan produk berasaskan kayu Malaysia termasuk perabot kayu, mencatatkan pertumbuhan lima peratus kepada RM22.92 bilion pada 2024, sekali gus mencerminkan daya tahan industri dan permintaan yang berterusan daripada pasaran global,” katanya dalam kenyataan itu.

Mohd Mustafa berkata produk berasaskan kayu Malaysia mesti diperoleh secara bertanggungjawab dan diperakui untuk memenuhi piawaian alam sekitar antarabangsa, sambil menegaskan bahawa pembeli global kini semakin menitikberatkan aspek kemampanan dan kebolehkesanan.

“Destinasi eksport utama termasuklah Jepun, Singapura dan Australia, di mana pembeli semakin mengiktiraf kualiti serta kredibiliti produk kayu Malaysia yang diperakui,” kata beliau.

Beliau juga menekankan bahawa penyertaan kukuh pembeli daripada pasaran pertumbuhan utama seperti Mesir, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Turkiye pada MWE 2025 mencerminkan usaha Malaysia yang berterusan dalam mempelbagaikan pasaran.

Selain itu, ia menunjukkan minat dan keyakinan yang semakin meningkat terhadap produk berasaskan kayu Malaysia yang berkualiti tinggi dan dihasilkan secara mampan.

Pameran yang dianjurkan oleh MTC menghimpunkan pembeli global, peneraju industri dan inovator untuk menjalin kerjasama mampan dan meneroka kepakaran Malaysia yang semakin berkembang dalam produk kayu bernilai tambah.

Pembeli yang mengambil bahagian itu adalah dari Australia, China, Mesir, Jerman, India, Mexico, Afrika Selatan, Turkiye dan UAE.

Pelbagai jenis produk daripada papan lapis, kayu gergaji dan acuan hingga papan gentian berketumpatan sederhana, venir, pintu kayu, lantai dan komponen perabot — mencerminkan penawaran berasaskan kayu Malaysia yang luas dan serba boleh.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan