TUMPAT, 16 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan menguruskan sebanyak 1,238 kes program pengurusan hilang upaya, Return To Work (RTW) sejak 2024 hingga kini, kata Pengarahnya Nora Yaacob.
Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, 827 individu telah berjaya dipulihkan dan kembali semula bekerja termasuk mampu menjana pendapatan secara berdikari menerusi aktiviti keusahawanan.
"Sebagai contoh, kita ada kes Orang Berinsurans (OB), iaitu Mohd Fazreeriwani Mohamad Arjunazri yang merupakan antara (peserta) RTW yang kini mampu bekerja semula.
"Beliau yang terlibat kemalangan telah menerima Faedah Hilang Upaya Sementara sebanyak RM17,970 serta Faedah Hilang Upaya Kekal (29 peratus), merangkumi bayaran pukal RM7,179.24 dan bayaran bulanan RM207 seumur hidup," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Program Cakna Prihatin PERKESO-Tabung Haji (TH) di Wakaf Bharu, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah TH negeri Mohamad Rosli Mustapai yang turut menyerahkan peralatan RTW Preneur bernilai RM5,880 melalui Dana Wakalah.
Sementara itu, Mohd Fazreeriwani, 39, berkata keadaannya seperti mati hidup semula apabila dapat kembali berjalan selepas lumpuh separuh badan akibat terjatuh dari bumbung ketika melakukan kerja pendawaian elektrik dua tahun lepas.
Menurut bapa tiga anak itu, kecederaan pada bahagian tulang belakang menyebabkannya hilang upaya menggerakkan tubuh dari pinggang ke bawah, namun bantuan PERKESO membolehkan beliau menjalani rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi PERKESO Melaka selama tiga bulan menerusi program RTW.
“Alhamdulillah, rawatan fisioterapi membantu saya pulih dan kembali bekerja menyara isteri, Hashimah Mohamed, 40, dan keluarga dengan mengusahakan perniagaan kuih serta jeruk.
“Saya amat bersyukur kerana PERKESO membantu sejak hari pertama kemalangan berlaku pada Ogos 2023, termasuk ketika saya menjalani pembedahan,” katanya.
Mohd Fazreeriwani berkata peralatan yang diterima memudahkannya memproses bahan kuih yang sebelum ini memerlukan banyak tenaga sehingga menjejaskan saraf belakang.
“Selepas ini saya mahu tingkatkan pengeluaran kuih dan meluaskan pasaran, selain membantu rakan-rakan senasib mencari pendapatan,” katanya.
-- BERNAMA
