KENINGAU, 15 Nov (Bernama) -- Tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Keningau menyaksikan persaingan sengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 apabila pertarungan di semua kawasan itu melibatkan sekurang-kurang tujuh penjuru.
Pengumuman rasmi calon-calon yang bertanding melibatkan DUN Tambunan, Bingkor dan Liawan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Peter Jonu @ Peter Jonu Moinjil di Dewan Masyarakat Keningau, di sini hari ini.
Liawan merekodkan 10 calon bertanding dan dijangka menjadi antara fokus pada pentas PRN kali ini, apabila penyandangnya, iaitu calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Annuar Ayub Aman berdepan sembilan pencabar dalam usahanya untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Antara pesaing beliau ialah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi, Adzhar Jasni @ Eddy mewakili Parti Warisan (Warisan), Johny @ John Anthony (Perikatan Nasional (PN)) dan Peter Paun (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM)).
Turut menjadi perhatian adalah pertandingan di Bingkor apabila calon GRS Rafie Robert berdepan cabaran sengit 10 penjuru dalam usahanya mempertahankan kerusi yang disandang bapanya, Datuk Robert Tawik.
Rafie yang juga Setiausaha Pemuda GRS pusat, antaranya akan berdepan calon Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Mohd Ishak Ayub, Benedict Martin Gunir (Warisan) dan Niklos Ongoh (KDM).
Di Tambunan, Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Ahli Parlimen Keningau sekali lagi mempertaruhkan pengaruh dan rekod perkhidmatannya untuk mengekalkan kerusi yang disandangnya itu dengan berdepan pertandingan tujuh penjuru.
Antara pencabarnya ialah Datuk Victor P Paut yang mewakili GRS, Dionysia Ginsos bawah tiket Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri), Bianus Kontong (Warisan) dan Jaikol Tagua (KDM).
Sementara itu, Peter berkata tiada kertas penamaan calon yang ditolak bagi ketiga-tiga DUN berkenaan sepanjang proses yang berlangsung dari 9 hingga 10 pagi itu.
Hari pengundian bagi PRN ke-17 yang membabitkan 73 kerusi DUN itu ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.
Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 1,784,843 pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini, merangkumi 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
