SHAH ALAM, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor memperuntukan RM8 juta bagi kerja baik pulih dan naik taraf pendawaian elektrik di sekolah agama yang kritikal di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada tahun depan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu merupakan antara usaha kerajaan negeri dalam menjamin keselamatan dan keselesaan pelajar, guru serta kakitangan sekolah, selain meningkatkan kualiti pembelajaran serta kesejahteraan semua pihak yang terlibat.
Beliau berkata berdasarkan rekod JAIS, terdapat 13 buah sekolah berusia lebih 20 tahun dan dikenal pasti mengalami masalah pendawaian elektrik yang merupakan antara punca berlakunya kebakaran.
“Pada Ogos 2025, berlaku kebakaran di Maahad Integrasi Teknologi dan Sains (MITS) Jugra dan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, terdapat banyak kes kebakaran berlaku di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
“Bagi mengatasi insiden serupa, peruntukan berjumlah RM8 juta ini diperlukan untuk menggantikan sistem pendawaian elektrik yang telah uzur dan rosak,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Sementara itu, Amirudin berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1.4 juta tahun depan untuk membiayai naik taraf tandas di 14 buah masjid di laluan utama di seluruh Selangor.
Beliau berkata program naik taraf kemudahan berkenaan bertujuan untuk menjadikan rumah ibadat itu lebih selesa dan mesra pengguna termasuk kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
"Selain itu, kerajaan negeri juga akan meneruskan insentif Haji Muasassah Selangor pada tahun depan membabitkan peruntukan RM9 juta, dengan setiap seorang jemaah akan mendapat sumbangan RM1,500, meningkat RM500 berbanding tahun ini," katanya.
-- BERNAMA
