EKONOMI

KUTIPAN HASIL SELANGOR CECAH RM2.49 BILION, ATASI SASARAN AWAL -- MB

14/11/2025 06:48 PM

SHAH ALAM, 14 Nov (Bernama) -- Jumlah kutipan hasil Selangor mencecah RM2.49 bilion setakat 13 November 2025 yang merupakan peningkatan lebih 106 peratus berbanding anggaran awal tahun penuh sebanyak RM2.35 bilion.

Sehubungan itu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri yakin jumlah itu dapat mencapai lebih RM2.7 bilion pada akhir 2025.

“Ini merupakan satu pencapaian amat memberangsangkan bagi kerajaan negeri dalam keadaan ekonomi dan geopolitik yang semakin mencabar pada ketika ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata rizab Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Selangor yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan, berjumlah RM4.83 bilion setakat 12 November 2025.

Pada masa sama, rizab kerajaan negeri terus meningkat sejak 2018 yang berjumlah RM2.7 bilion.

Beliau berkata prestasi kewangan kerajaan negeri sehingga 12 November 2025 turut mencatat lebihan sebanyak RM402.58 juta susulan tindakan yang sentiasa mengamalkan pendekatan perbelanjaan berhemah.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan