AM

BERNAMA RAIH LIMA ANUGERAH PADA ANUGERAH MEDIA PERKESO 2025

14/11/2025 12:39 AM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) meraih lima anugerah pada majlis Anugerah Media Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) 2025 iLINDUNGu yang berlangsung di sini malam ini.

Anugerah edisi kedua itu disampaikan Menteri Sumber Manusia Steven Sim yang bertujuan mengiktiraf sumbangan media dalam mengetengahkan laporan mengenai perluasan fungsi Perkeso, terutamanya berkaitan kepentingan keselamatan sosial dan hak pekerja sebagai pencarum.

Pada majlis berkenaan, Ketua Biro Bernama Kelantan Muhammad Afiq Mohd Asri dinobatkan sebagai juara Laporan Portal Berita Terbaik bagi artikel bertajuk “Strok Bukan Noktah: Azli Bangkit Kembali Bersama RTW Perkeso”.

Wartawan Bernama Kelantan Mohd Noor Iqram Rosli pula meraih tempat pertama Laporan TV Terbaik bagi laporan bertajuk “Perkeso, Benteng Perlindungan Pekerja Gig, Imbang Risiko Ekonomi Baharu” yang membolehkan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000, sebuah trofi dan sijil.

Selain itu, Bernama turut memenangi tempat kedua bagi kategori Laporan Podcast Terbaik oleh Nor Hayati Yaakub, Laporan Portal Berita Terbaik oleh Erda Khursyiah Basir serta Laporan Media Digital Terbaik oleh Vishpani Kumar dan masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000, sebuah trofi dan sijil.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin menyifatkan pencapaian itu amat membanggakan dan menjadi bukti komitmen tinggi pasukan Bernama dalam menyampaikan laporan berkualiti.

“Alhamdulillah, malam ini pasukan Bernama menjuarai empat kategori dengan dua kejuaraan dan tiga naib juara. Ia satu pencapaian yang amat membanggakan untuk Bernama.

“Saya berharap kemenangan-kemenangan ini dapat memberi inspirasi kepada wartawan, jurukamera, jurufoto serta semua warga di Bernama untuk terus berusaha meraih kejayaan pada anugerah media lain,” katanya selepas majlis berkenaan.

Sementara itu, Muhammad Afiq bersyukur dengan kemenangan itu dan tidak menyangka penyertaannya pada saat akhir memberikan rezeki kepadanya apabila diumumkan sebagai pemenang untuk kategori Laporan Portal Berita Terbaik.

"Saya mengambil masa satu hari untuk menghasilkan rencana ini kerana untuk mengejar tarikh akhir penghantaran pencalonan. Jadi tidak sangka yang saya akan menang apatah lagi menjadi juara," katanya yang pertama kali memenangi anugerah sepanjang menjadi wartawan selama 13 tahun.

Anugerah tahun ini menyaksikan sebanyak 115 penyertaan diterima daripada pelbagai platform media yang dihakimi menerusi lapan kategori pertandingan, termasuk Laporan Radio Terbaik, Laporan Media Cetak Terbaik, Anugerah Fotografi Terbaik serta Anugerah Jasa Bakti bagi Syarikat dan Individu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan