EKONOMI

PETRONAS LANTIK MAIMUNAH MOHD SHARIF PENASIHAT HARTANAH, BERKUAT KUASA 17 NOV 2025

13/11/2025 10:51 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Petronas melantik Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sebagai Penasihat Hartanahnya, berkuat kuasa 17 Nov 2025.

Petronas dalam satu kenyataan hari ini berkata Maimunah akan membantu mencorakkan fasa pertumbuhan seterusnya dalam portfolio hartanah syarikat itu terutamanya berkaitan tanah di Sungai Besi, Kota Madani serta hartanah pembangunan lain.

Maimunah yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam pembangunan bandar lestari, merupakan graduan daripada University of Wales Institute of Science and Technology yang memegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Perancangan Bandar serta memiliki Ijazah Sarjana dalam Perancangan Bandar daripada Universiti Sains Malaysia.

"Jawatan beliau sehingga baru-baru ini adalah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur," kata Petronas.

 Sepanjang kerjayanya Maimunah menyandang pelbagai jawatan penting di Malaysia dan juga di luar negara termasuk sebagai presiden wanita pertama Majlis Perbandaran Seberang Prai dan berkhidmat sebagai Datuk Bandar Pulau Pinang.

“Bagi kepimpinannya di peringkat antarabangsa, beliau merupakan wanita Asia pertama yang dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat),” katanya.

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pemangku Ketua Pengarah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Nairobi, Kenya.

“Pihak pengurusan Petronas mengalu-alukan Datuk Seri Dr Maimunah dan yakin bahawa pengetahuan serta pengalaman beliau akan menjadi tambahan yang berharga kepada syarikat,” kata syarikat itu.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan