AM

KDN LAKSANA EMPAT RESOLUSI BERKAITAN AI, PACU AGENDA KESELAMATAN NEGARA - SAIFUDDIN

12/11/2025 07:28 PM

PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan serta-merta empat resolusi berkaitan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuh ekosistem keselamatan negara.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata resolusi berkenaan yang dicapai pada Simposium Kecerdasan Buatan Transformasi Keselamatan 2025 akan dijadikan asas kepada perancangan dan pelaksanaan agenda AI di bawah KDN meliputi empat fokus utama.

Beliau berkata empat fokus itu ialah pengesanan trend dan risiko, pengurusan sempadan pintar, transformasi digital dan informasi strategik serta penggunaan AI dalam penyampaian perkhidmatan.

Saifuddin Nasution berkata langkah segera itu perlu memandangkan AI penting dalam ekosistem keselamatan dan KDN tidak boleh ketinggalan dalam menguasai kemahiran itu.

"Sekarang sedang berlangsung, sebahagian daripada resolusi itu misalnya menekankan peri pentingnya aspek persiapan modal insan dan mempersiapkan pegawai-pegawai di KDN dalam dua perkara.

"Pertama, pengetahuan asas tentang AI. Yang kedua, untuk menguasai kemahiran dari segi generatif AI dalam aspek aplikasi," katanya kepada media selepas menghadiri simposium berkenaan di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata inisiatif itu perlu dilaksanakan segera agar negara tidak ketinggalan dengan tuntutan semasa.

"Tujuan aplikasinya adalah penyelesaian masalah. Saya tidak tekankan soal penguasaan teknologi, memahami teknologi, sebab saya tak fikir kita boleh bersaing dengan negara besar macam Amerika Syarikat, China yang pelaburannya beratus bilion dolar Amerika.

"Namun teknologi itu telah tersedia, kita cuma tertinggal setahun sahaja dan ia pula teknologi yang boleh dipelajari dengan penguasaan bahasa Inggeris yang sederhana. Jadi bayangkan, ini yang saya istilahkan sebagai peluang generasi. Kalau kita tak manfaatkan, kita jauh tertinggal," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan segera itu selari dengan hala tuju keselamatan berteraskan teknologi AI bagi menghadapi landskap ancaman semasa seperti jenayah rentas sempadan, penipuan digital, pemerdagangan orang dan ancaman siber yang semakin kompleks.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan