IPOH, 12 Nov (Bernama) -- Seniman Negara Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat berkata beliau memberikan kebebasan sepenuhnya kepada penggiat seni untuk menterjemahkan kisah ikonik The Kampung Boy mengikut kreativiti masing-masing.
Menurut beliau, teater Seniman Negara Datuk Lat – Kampung Boy merupakan gabungan antara realiti dan fiksyen, dengan perbezaan ketara daripada karya asalnya yang lebih bersifat “senyap” berbanding pementasan teater yang sarat dengan dialog bermakna dan jenaka.
“Kalau nak buat cerita Lat, ambillah dan buatlah sendiri. Saya tidak masuk campur, seperti mana saya lakukan bersama Hans Isaac dan Harith Iskander untuk Kampung Boy di Istana Budaya sebelum ini.
“Kegiatan seni sebegini memerlukan kebebasan, dan kebebasan yang saya berikan kepada anda semua (pasukan produksi termasuk pelakon) adalah 100 peratus. Sebab itu ada bahagian yang bersifat fiksyen dan ada juga yang realiti,” katanya selepas menyaksikan pementasan teater berkenaan di sini, malam tadi.
Menjelaskan lebih lanjut, Datuk Lat mengambil contoh babak mendulang bijih timah dalam karyanya dan mendedahkan bahawa beliau sebenarnya tidak pernah melakukannya sendiri, sebaliknya menggambarkan pengalaman rakan-rakannya seolah-olah ia berlaku kepada dirinya sebagai pencerita orang pertama.
Walaupun terdapat perbezaan daripada karya asal, Seniman Diraja itu berkata beliau berpuas hati dengan pementasan tersebut yang disifatkannya “hidup” serta menampilkan kepelbagaian cerita berbanding komiknya.
Mohammad Nor turut memuji kebolehan para pelakon menghafal dialog yang panjang — satu tugas yang diakuinya tidak mampu dilakukan olehnya sendiri, malah beliau pernah gagal sebagai pelakon tambahan pada era Allahyarham Datuk Syed Alwi Syed Hassan.
Pada masa sama, beliau berpendapat mesej dan asal usul ‘Lat’ berjaya disampaikan kepada penonton, dan berharap pementasan teater itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
“Ini pertunjukan pentas, dan saya dapat melihat cerita saya itu sebenarnya bercabang-cabang, melibatkan banyak watak, dan lebih ‘lively’ daripada buku-buku saya. Dalam buku saya, gambar dan lukisanlah yang bercerita,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak Hisham Mat Husein menyifatkan pementasan teater itu sebagai usaha mengangkat figura seni yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau turut memaklumkan bahawa Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat menyaksikan pementasan teater berkenaan pada malam kedua, 15 Nov ini.
“Saya harap ini menjadi sejarah buat JKKN kerana sebelum ini Tuanku Sultan tidak pernah menjejakkan kaki ke auditorium JKKN Perak. Alhamdulillah,” katanya.
Menurut Hisham, kesemua tiket bagi pementasan selama tiga hari bermula 14 Nov ini telah habis dijual, dengan sambutan diterima bukan sahaja daripada penonton di Perak tetapi juga dari seluruh Semenanjung.
Pementasan berprestij itu dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN Perak bersama Pertubuhan Seni Kayangan Perak (PESKAP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak di Auditorium Kompleks JKKN Perak.
Teater yang menterjemahkan komik ikonik "The Kampung Boy" yang memaparkan kehidupan Datuk Lat itu menampilkan barisan pelakon antaranya Taiyuddin Bakar, Safura Ya'cob, Ilya Senario dan Hadi Mikail.
Pementasan itu diarahkan oleh Ridhwan Saidi berdasarkan skrip nukilan Saad Omar, mengisahkan Lat Dewasa yang bertemu Lat Kecil dan mengimbau kenangan zaman kanak-kanak di Kampung Lalang, Kota Bharu dekat Kampar sebelum berpindah ke Ipoh.
Selain pementasan utama, pelbagai program sampingan turut diadakan termasuk Klinik Seni Budaya, Klinik Teater Kanak-kanak dan sesi Ate Moh Nyembang.
-- BERNAMA
