PUTRAJAYA, 11 Nov (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan seorang bekas anggota tentera untuk mengembalikan semula keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini memerintahkannya dibayar ganti rugi RM300,000 atas penahanan salah selama 311 hari semasa menunggu prosiding mahkamah tentera, 11 tahun lepas.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menolak rayuan Muhammad Maliki Abdul Halim tanpa kos.
Arahan itu mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang telah mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memerintahkan pembayaran ganti rugi kepada Muhammad Maliki.
Nordin ketika menyampaikan keputusan itu berkata undang-undang memberi kuasa kepada pihak berwajib untuk menahan Muhammad Maliki semasa menunggu perbicaraan di hadapan mahkamah tentera mengikut Seksyen 96(3) Akta Angkatan Tentera (AFA) dan ketika perbicaraan di hadapan mahkamah tentera di bawah Peraturan 16(1) Kaedah-Kaedah Acara Mahkamah Tentera 1976 (AFRP).
“Kami mendapati tiada pelanggaran Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan (tidak boleh diambil nyawa atau dilucutkan kebebasan diri) kerana perayu (Muhammad Maliki) ditahan sepanjang tempoh berkenaan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Nordin berkata AFA dan AFRP, perundangan khas yang digubal untuk mentadbir tentera dan anggota-anggotanya adalah undang-undang sah yang diluluskan Parlimen.
“Perkataan ‘hendaklah’ dalam Seksyen 96(3) AFA menunjukkan keperluan mandatori, terutamanya apabila AFA antara lain berkaitan dengan disiplin anggota tentera yang memerlukan pematuhan ketat terhadap undang-undang,” katanya.
Nordin berkata kes Muhammad Maliki juga melibatkan pengambilan dadah berbahaya, yang merupakan kesalahan serius oleh anggota tentera yang melanggar perintah tetap di bawah Seksyen 51 AFA.
Muhammad Maliki, yang sebelum ini merupakan anggota Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja (5 RRD), Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu, Kelantan didapati positif dadah semasa operasi pencegahan dadah yang dijalankan pada Mac 2014.
Dia kemudian dibawa ke hadapan pegawai memerintah untuk siasatan atas pertuduhan melanggar perintah tetap di bawah Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera dan ditahan sementara menunggu siasatan selesai mengikut AFRP.
Pada 26 Ogos 2014, selepas siasatan selesai, Muhammad Maliki dibawa ke hadapan pegawai memerintahnya yang memaklumkan bahawa dia didapati bersalah atas pertuduhan tersebut.
Sebelum merekodkan keputusan bersalah, pegawai memerintah memaklumkan hak Muhammad Maliki untuk memilih perbicaraan di hadapan mahkamah tentera dan dia memilih untuk diadili di mahkamah tentera. Muhammad Maliki kemudiannya ditahan sementara menunggu keputusan perbicaraan di mahkamah tentera.
Pada 8 April 2014, Muhammad Maliki dibawa ke hadapan mahkamah tentera dan dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 51 AFA.
Pada 2 Jun 2015, dia memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan writ habeas corpus bagi memastikan pembebasannya daripada penahanan tetapi kemudian menarik balik permohonan itu selepas dibebaskan dengan penahanan terbuka sementara menunggu perbicaraan di mahkamah tentera.
Muhammad Maliki kemudiannya memfailkan tuntutan sivil kerana penahanan salah dari Ogos 2014 hingga Julai 2015. Beliau menamakan Pegawai Memerintah 5 RRD Leftenan Kolonel Shaifullizan Abd Aziz, pihak berkuasa Briged Kelapan Infantri, Panglima Angkatan Tentera dan kerajaan sebagai responden.
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penahanan Muhammad Maliki adalah tidak sah dan memberikannya ganti rugi sebanyak RM300,000. Bagaimanapun, pada 2023, Mahkamah Rayuan mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi itu dan Muhammad Maliki kemudian memperoleh kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan pada September tahun lepas.
Dalam prosiding hari ini, Muhammad Maliki diwakili peguam Shaharuddin Mohamed dan Low Wei Loke, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb mewakili responden.
-- BERNAMA
