EKONOMI

RAC, MARIC METERAI MOU PERKUKUH PEMBANGUNAN INDUSTRI KERETA API MALAYSIA

11/11/2025 04:47 PM

SEPANG, 11 Nov (Bernama) -- Kerjasama antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Pertubuhan Industri Rel Malaysia (MARIC) dijangka menjadi pemangkin kepada penglibatan lebih besar pihak tempatan dalam rantaian nilai kereta api, sekali gus memperkukuh visi Malaysia untuk menjadi hab serantau bagi teknologi dan perkhidmatan kereta api.

RAC memaklumkan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) dengan MARIC hari ini bermatlamat mengukuhkan ekosistem industri kereta api tempatan menerusi kerjasama strategik dalam penyelidikan, pembangunan sistem kereta api serta pembangunan modal insan.

“Kolaborasi ini menandakan langkah penting bagi memperkasakan pemain industri keretapi api tempatan sejajar dengan aspirasi negara untuk membangunkan sektor kereta api yang kompetitif, mampan dan berasaskan teknologi,” menurut RAC dalam kenyataan hari ini.

Menurut RAC, menerusi MoU itu kedua-dua pihak akan menumpukan kepada pembangunan sistem kereta api dan modal insan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kerjasama strategik untuk meningkatkan keupayaan tempatan dan menggalakkan pertumbuhan sektor kereta api yang dipacu teknologi.

Kedua-dua pihak juga akan meneroka peluang untuk membangunkan sistem kereta api secara bersama serta meningkatkan kepakaran tempatan melalui program latihan teknikal, operasi dan pengurusan aset.

Bagi R&D, RAC dan MARIC akan bekerjasama dalam inovasi teknologi kereta api baharu bagi memperkukuh daya saing penggiat industri tempatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap kepakaran asing.

Sementara itu, MoU berkenaan turut menyediakan rangka kerja untuk kerjasama strategik pada masa hadapan, membolehkan pelaksanaan perjanjian perkhidmatan dan perkongsian projek tertentu yang akan dilaksanakan tertakluk kepada persetujuan bersama antara kedua-dua pihak.

Menurut RAC, kerjasama itu juga dijangka memberikan impak positif kepada industri kereta api Malaysia dengan meningkatkan kapasiti dan kepakaran penggiat industri tempatan, menyokong matlamat kerajaan untuk membangunkan rantaian bekalan kereta api negara yang mampan dan bersepadu serta mewujudkan peluang pekerjaan dan memudahkan pemindahan teknologi kepada bakat tempatan.

“RAC dan MARIC juga akan memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan modal insan, perkongsian pengetahuan teknikal serta penglibatan dalam projek sistem kereta api baharu,” menurut kenyataan itu.

Majlis penandatanganan MoU berkenaan diadakan sempena Ekspo Pengangkutan Asia 2025 anjuran Kementerian Pengangkutan selama tiga hari bermula hari ini, dengan disaksikan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

RAC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Azhar Ahmad manakala MARIC diwakili Presidennya Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan