MELAKA, 11 Nov (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengenal pasti sebanyak 106 lokasi “panas” mudah berlaku banjir di sekitar negeri itu sekiranya berlaku hujan lebat berikutan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula Khamis ini.
Pengarahnya Mohd Zaidi Ma'at berkata kawasan dikenal pasti dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka itu membabitkan 53 lokasi di Melaka Tengah, Alor Gajah (27) dan Jasin (26).
"Bagi menghadapi Monsun Timur Laut, JBPM Melaka bersiap sedia sepenuhnya meliputi pelbagai aspek seperti aset, logistik, anggota serta latihan," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulan November 2025 dan Pelancaran Persiapan Monsun Timur Laut JBPM Melaka di sini hari ini.
Turut hadir Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Melaka Penguasa Kanan Bomba II Mohd Shahrom Laji.
Beliau berkata kira-kira 500 pegawai dan anggota bomba daripada unit penyelamatan, operasi, khas dan sokongan berada dalam keadaan siap siaga serta akan digerakkan pada bila-bila masa apabila diperlukan sepanjang monsun berkenaan.
Mohd Zaidi berkata jumlah berkenaan tidak termasuk pasukan bomba sukarela dan pasukan bomba komuniti yang ditubuhkan di negeri itu bagi membantu memberi respons awal sekiranya berlaku bencana di kawasan mereka.
Selain itu, JBPM Melaka juga menubuhkan Pasukan Gerak Cepat bagi membantu mempertingkat tindak balas terhadap banjir dan bencana lain semasa Monsun Timur Laut di negeri jiran seperti Johor.
"Pasukan ini melibatkan 15 anggota daripada tiga pasukan yang bersiap sedia 24 jam bersama aset dan logistik seperti lori, bot aluminium, jaket keselamatan dan kenderaan utiliti di Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh.
"Sekiranya perlu membantu negeri jiran, pasukan ini perlu sampai ke lokasi banjir atau bencana dalam tempoh tiga jam dan memang setiap tahun kita ada pasukan yang akan digerakkan ke negeri jiran pada Monsun Timur Laut," katanya.
Beliau turut mengingatkan penduduk di kawasan berisiko banjir agar sentiasa peka dengan persekitaran, mengikut arahan pihak berkuasa dan bersiap sedia sekiranya diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan kenyataan Monsun Timur Laut 2025/2026 dijangka bermula Khamis ini dan berterusan hingga Mac depan, dengan lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku.
-- BERNAMA
