AM

EMPANGAN TELUK BAHANG TERIMA ANUGERAH PENYELENGGARAAN EMPANGAN TERBAIK

10/11/2025 05:30 PM

GEORGE TOWN, 10 Nov (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menerima anugerah antabangsa bagi Penyelenggaraan Empangan Terbaik untuk pengurusan dan penyelenggaraan Empangan Teluk Bahang, baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk K. Pathmanathan berkata anugerah itu disampaikan pada Persidangan Antarabangsa Ketiga mengenai Pengurusan dan Kejuruteraan Keselamatan Empangan 2025 (ICDSME 2025) pada 5 Nov lepas sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan kecemerlangan PBAPP.

"Anugerah itu mengiktiraf usaha berterusan PBAPP dalam mengurus dan menyelenggara Empangan Teluk Bahang sebagai antara empangan paling selamat dari segi operasi di Malaysia, berdasarkan status semasa empangan berkenaan.

"Asas pemilihan bagi Anugerah ICDSME boleh dirumuskan, iaitu pengurusan empangan mengikut piawaian tiga penanda aras ISO antarabangsa: ISO 9001:2015 untuk kualiti dan penambahbaikan berterusan, ISO 45001:2018 bagi kesihatan dan keselamatan pekerjaan serta ISO 14001:2015 bagi perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Anugerah itu juga mengambil kira pemeriksaan pencegahan, penilaian oleh pihak ketiga dan kerja pemulihan aset bagi memastikan integriti struktur serta daya tahan jangka panjang.

Turut diambil kira ialah pelan respons dan latihan kecemasan serta program kesedaran pihak berkepentingan bagi memastikan keselamatan komuniti. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan