AM

SYARIKAT TELEKOMUNIKASI PERLU PROAKTIF SELESAI ISU GANGGUAN TALIAN DI PAHANG - EXCO

09/11/2025 09:17 PM

KUANTAN, 9 Nov (Bernama) -- Syarikat telekomunikasi digesa supaya lebih serius dan proaktif menyelesaikan segera isu gangguan talian komunikasi yang berlaku bukan sahaja di Raub tetapi juga di seluruh Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata sudah tiga hari gangguan teruk capaian telekomunikasi berlaku di Kampung Pamah Kulat, Kampung Pamah Rawas dan Kampung Peruas di Raub. 

“Keadaan ini menyusahkan urusan banyak pihak khususnya penduduk kampung, peniaga dan pelancong yang bercuti di sekitar Ulu Dong,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata saban hari semakin banyak aduan diterima dan syarikat telekomunikasi mengambil masa terlalu lama untuk menyelesaikannya. 

“Sedangkan dalam sesi libat urus bersama syarikat telekomunikasi yang terlibat pada September baru-baru ini, mereka telah menyatakan komitmen untuk menambah baik mutu perkhidmatan masing-masing,” katanya. 

Menerusi hantaran sama, Fadzli turut berkongsi gambar beliau turun padang meninjau menara telekomunikasi di Kampung Pamah Kulat, Kampung Pamah Rawas dan Kampung Peruas petang tadi.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan