KOTA KINABALU, 8 Nov (Bernama) -- Sabah terus mencuri tumpuan sebagai hab pelaburan baharu negara apabila mencatat nilai pelaburan diluluskan berjumlah RM11.37 bilion dalam pelbagai sektor ekonomi untuk tempoh Januari hingga Jun 2025.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pelaburan tersebut meliputi sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama, dengan lebih 7,800 peluang pekerjaan diwujudkan sejak 2022.
Pencapaian ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Sabah, terutama dengan pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menyasarkan Sabah sebagai hab pembuatan hiliran dan tenaga boleh baharu.
“Dalam hal ini, MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri), dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Sabah serta Invest Sabah Berhad (ISB) telah menganjurkan Program Kesedaran KenalESG pada 30 Oktober 2025 di Kota Kinabalu.
“Ini akan meningkatkan keupayaan PMKS Sabah untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan syarikat-syarikat yang lebih besar,” katanya ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Persatuan Industri Sabah di sini hari ini
Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
MITI turut melancarkan pelbagai dasar pelengkap di bawah Kerajaan MADANI, termasuk Strategi Pelaburan Hijau (GIS), Rangka Kerja i-ESG, Pelan Hala Tuju Industri Kimia 2030 (CIR 2030) serta Strategi Semikonduktor Nasional, yang semuanya membuka peluang pelaburan baharu kepada Sabah.
“Yakinlah, kerajaan sentiasa proaktif dan inovatif dalam memacu transformasi perindustrian tanah air kita,” katanya.
MITI melalui agensinya seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang giat menarik pelaburan hijau, dengan potensi RM7.3 bilion telah diperoleh semasa Persidangan IGEM 2025 pada Oktober lepas.
Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif pembangunan hiliran berteknologi tinggi seperti Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui pemprosesan biojisim kelapa sawit dan aktiviti petrokimia hiliran.
“Rantaian nilai yang dibangunkan di sini meliputi keseluruhan ekosistem, daripada pengumpulan bahan mentah biojisim, pemprosesan kepada bahan kimia perantaraan sehinggalah ke produk akhir seperti bioplastik, bahan aktif farmaseutikal dan kosmetik,” katanya.
Tengku Zafrul menegaskan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah menjadi kunci dalam memastikan kejayaan dasar-dasar tersebut termasuk mempercepatkan proses kelulusan pelaburan serta meningkatkan fasilitasi kepada pelabur.
Beliau memberi jaminan bahawa semua peruntukan di bawah Belanjawan 2026 turut boleh dimanfaatkan oleh syarikat di Sabah termasuk Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF) sebanyak RM200 juta dan Dana Pembangunan Industri NIMP (NIDF) bernilai RM180 juta.
-- BERNAMA
