AM

WARTAWAN VETERAN SEDIA SOKONG USAHA MAJLIS MEDIA MALAYSIA - PENGERUSI BERNAMA

08/11/2025 10:14 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai percaya Majlis Media Malaysia (MMM) yang baru ditubuhkan mampu menetapkan penanda aras baharu bagi industri media negara, dengan sokongan wartawan veteran dan profesional media. 

Tokoh Wartawan Negara itu berkata wartawan berpengalaman, termasuk veteran seperti beliau bersedia untuk memberikan bimbingan dan nasihat bagi memastikan majlis berkenaan dapat memainkan peranan dalam memperkukuh bidang kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab. 

“Kepimpinan MMM bakal berdepan dengan situasi yang tidak pernah dilalui sebelum ini tetapi sebagai wartawan berpengalaman dan terbabit secara profesional dalam pengurusan, saya percaya mereka akan dapat menanganinya dengan baik.

“Ramai daripada kita yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini bersedia untuk membantu mereka dan memberikan pandangan serta nasihat. Pada akhirnya, semua ini untuk Malaysia dan dunia kewartawanan Malaysia, itu yang lebih penting,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Mesyuarat Agung Tahunan pertama MMM di sini semalam, yang merupakan satu pencapaian besar dalam usaha memperkukuh institusi media negara. 

Pada mesyuarat itu 12 individu dipilih menganggotai Ahli Lembaga MMM, mewakili tiga kategori iaitu syarikat media, wartawan dan persatuan media, serta orang awam dan badan bukan kerajaan (NGO)

Wong juga menyifatkan penubuhan majlis tersebut sebagai langkah penting bagi landskap media Malaysia, di samping menegaskan bahawa ia mencerminkan kesediaan industri itu untuk kawal selia kendiri dalam menegakkan profesionalisme. 

“Ini merupakan satu pencapaian penting dalam sejarah Malaysia, bukan sahaja bagi dunia kewartawanan tetapi negara secara keseluruhan kerana akhirnya kita menyaksikan penubuhan sebuah badan yang mampu mengawal selia dan menjaga sendiri industri kita,” katanya, menambah pemilihan pertama ahli majlis itu menandakan fasa baharu dalam aspek kebertanggungjawaban dan autonomi bagi pengamal media tempatan. 

 Beliau turut memuji nilai keterangkuman dalam komposisi ahli, yang merangkumi wakil dari Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, selain seimbang dari segi gender.

Wong juga yakin dengan kredibiliti dan integriti ahli dipilih, yang beliau sifatkan sebagai “wartawan sejati” yang komited dalam memajukan industri media. 

“Melihat pada senarai nama yang dipilih, saya berasa sangat gembira kerana kebanyakan mereka adalah orang yang saya kenal...wartawan sejati yang berada di lapangan. Dengan barisan seperti ini, saya percaya MMM akan dapat menetapkan hala tuju yang tepat untuk masa depan,” katanya. 

Beliau juga menyeru orang ramai dan warga industri media supaya memberi masa dan ruang kepada majlis berkenaan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka memandangkan masing-masing masih terikat dengan tugas profesional dan pada masa sama membantu membangunkan institusi itu. 

“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini di Malaysia. Beri mereka peluang untuk berkhidmat. Mereka adalah wartawan sepenuh masa, bukannya ahli majlis sepenuh masa.

“Industri media sendiri berdepan cabaran dalam usaha mengekalkan pulangan dan operasi, dan kini mereka memikul tanggungjawab baharu. Saya yakin mereka akan berjaya dalam menetapkan penanda aras baharu bagi industri media,” katanya. 

Mereka yang dipilih bagi kategori syarikat media ialah C Premesh yang merupakan bekas pengerusi interim MMM, Pengarang Kumpulan New Straits Times Farrah Naz Abd Karim, Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group Berhad Datin Paduka Esther Ng Sek Yee dan Pengurus Besar The Borneo Post dan Utusan Borneo Wong Yang Yong.

Kategori wartawan dan persatuan media pula ialah Mohamad Fauzi Ishak, Mariah Airens Doksil, Mohd Ishak Abdillah Ngah dan Adie Suri Zulkefli, manakala Zaharom Nain, Terence Ooi Guan Tseng, Cynthia Lorraine Silva dan Mediha Mahmood mewakili kategori kategori orang awam dan NGO.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan