AM

PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI BERI MANFAAT LANGSUNG KEPADA WARGA SMK CYBERJAYA - DOF

07/11/2025 08:28 PM

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menerusi program Sekolah Angkat MADANI telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan yang memberi manfaat langsung kepada warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cyberjaya.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata melalui peruntukan RM100,000 pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk pembekalan set LEGO Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP)

"Inisiatif ini telah membantu pelajar SMK Cyberjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan LEGOLAND® School Challenge 2025 di Iskandar Puteri, Johor," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bantuan turut disalurkan bagi penyediaan meja dan kerusi peperiksaan baharu di dewan peperiksaan sekolah, kerja naik taraf bilik kegiatan guru bagi mewujudkan ruang kerja yang lebih selesa, serta penggantian penyaman udara di beberapa lokasi utama seperti bilik sumber, perpustakaan dan bilik guru.

Adnan berkata kesemua penambahbaikan berkenaan menyumbang kepada persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta meningkatkan tumpuan pelajar dan tenaga pengajar.

Selain itu, sebagai simbol keterjalinan hubungan antara dua organisasi berlainan bidang, beliau berkata DOF juga menganjurkan program libat urus dan literasi perikanan bersama warga SMK Cyberjaya.

Beliau berkata program itu memberi tumpuan kepada pemahaman tentang kepentingan pemuliharaan sumber perikanan, pengenalan ikan asli Malaysia serta potensi industri perikanan hiliran melalui aktiviti seperti kempen uji rasa produk perikanan tempatan dan pertandingan kulinari Rasa-Rasa Akuakultur Edisi Sekolah.

“Pendekatan ini memperkukuh usaha DOF dalam memperluas kesedaran awam terhadap peranan sektor perikanan dalam memastikan keterjaminan sumber makanan negara.

“DOF amat berbesar hati dapat menyumbang kepada usaha ini dan melihat manfaatnya dinikmati terus oleh warga SMK Cyberjaya. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam menyokong usaha meningkatkan kualiti pembelajaran dan kesejahteraan warga sekolah," katanya.

Adnan berkata Program Sekolah Angkat MADANI itu juga mencerminkan keprihatinan DOF terhadap pembangunan masyarakat melalui pendekatan kolaboratif dan berimpak langsung.

Terdahulu, Program Apresiasi Sekolah Angkat MADANI antara DOF dan SMK Cyberjaya diadakan hari ini sebagai tanda penghargaan atas kejayaan pelaksanaan inisiatif Sekolah Angkat MADANI tahun ini.

Program Sekolah Angkat MADANI merupakan inisiatif Kerajaan MADANI yang diselaraskan oleh Kementerian Kewangan bagi menggalakkan sinergi antara agensi kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan dalam memperkasa kualiti pembelajaran serta kesejahteraan warga sekolah. 

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan