AM

PEMEGANG PAS LAWATAN SOSIAL DIBERI AMARAN TIDAK KERJA, BERNIAGA - FAHMI

07/11/2025 07:14 PM

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) -- Pelancong yang memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS)  diberi amaran tegas agar tidak berkerja atau berniaga semasa berada di negara ini.

Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata ia susulan Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan terdapat laporan pelancong menyalah guna PLS untuk berbuat demikian.

“Jemaah Menteri memberi peringatan tegas bahawa pemegang Pas Lawatan Sosial tidak dibenarkan untuk bekerja atau berniaga di Malaysia. 

"Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil sekiranya undang-undang berkaitan penggunaan pas lawatan ini didapati dilanggar,” katanya pada sidang media mesyuarat pasca-Kabinet di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, sehingga September lepas lebih 400 pelancong ditahan kerana menyalahgunakan PLS untuk bekerja dan berniaga.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan