EKONOMI

PT RESOURCES MEMETERAI MOU DENGAN EXIM BANK UNTUK PENGEMBANGAN DI CHINA

06/11/2025 10:00 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- PT Resources Holdings Bhd (PTRB) dan Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) merancang untuk meneroka kerjasama dalam pembiayaan perdagangan, fasilitasi eksport serta sokongan strategik bagi pengembangan PTRB di China termasuk operasi pemprosesan kelapa di Fuqing City, wilayah Fujian.

PTRB, pemproses dan peniaga makanan laut beku serta produk makanan lain berkata ini berikutan pertukaran memorandum persefahaman antara syarikat itu dan EXIM Bank semasa Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai 2025 hari ini. 

"Kerjasama ini dijangka mengukuhkan keupayaan pembekalan PTRB selain menyokong visi jangka panjangnya untuk menjadi peneraju serantau dalam penyelesaian makanan yang mampan," katanya melalui satu kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan PTRB Heng Chang Hooi berkata dengan sokongan kewangan dan rangkaian global EXIM Bank, syarikat itu yakin dapat meningkatkan kehadiran di pasaran China sambil menegakkan komitmennya terhadap kualiti dan kemampanan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan