KUANTAN, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pahang berjaya mencapai sasaran kutipan hasil RM1 bilion untuk tahun ini sekali gus menjadikannya pencapaian tahun keempat berturut-turut.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pencapaian itu membuktikan kecekapan pentadbiran serta komitmen tinggi penjawat awam dan pembayar cukai dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.
“Pagi tadi saya dimaklumkan oleh Pegawai Kewangan Negeri bahawa hasil kerajaan negeri telah mencapai RM996 juta, tetapi pada petang ini saya boleh mengesahkan kita telah berjaya mencapai sasaran kutipan hasil RM1 bilion untuk tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran Visit Malaysia 2026-Pahang First di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata kejayaan itu juga membolehkan pihaknya mengembalikan lebihan hasil kepada rakyat, seperti bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri sebanyak sebulan gaji.
“Sasaran asal hasil negeri ialah RM1 bilion, namun saya telah memberi cabaran, sekiranya kita berjaya mencapai RM1.6 bilion, kerajaan negeri akan menambah bantuan khas kewangan kepada penjawat awam,” katanya.
Mengenai majlis hari ini, Wan Rosdy berkata Pahang terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam sektor pelancongan apabila menerima lebih 11 juta pelancong setakat September tahun ini.
Beliau berkata pihaknya turut menyasarkan sebanyak 13.74 juta pelancong pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Insya-Allah, sasaran ini dapat dicapai kerana kita telah merancang, berusaha dan melaksanakan promosi Visit Malaysia-Pahang First pada tahun ini dan kita juga membuat beberapa persediaan awal untuk menggalakkan lebih ramai pelancong datang ke Pahang, sama ada domestik atau antarabangsa.
“Antara negara penyumbang utama pelancong asing ke Pahang ialah Indonesia, Singapura, China dan negara-negara Eropah,” katanya.
Beliau berkata sasaran itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada pemain industri sektor pelancongan dengan perbelanjaan pelancong dianggar mencecah RM13.4 bilion.
-- BERNAMA
