AM

JAPEN EDAR 6,500 RISALAH BELANJAWAN 2026, BUDI95 KE SELURUH SELANGOR

04/11/2025 09:33 PM

SHAH ALAM, 4 Nov (Bernama) -- Sebanyak 6,500 risalah mengenai Belanjawan 2026 dan program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) diedarkan ke seluruh negeri Selangor sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat.

Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Selangor Cik Kazidi Mohd Zainuddin berkata hebahan dilaksanakan melalui inisiatif Info On Wheels (IOW) anjuran jabatan itu yang turun padang bagi memberi penerangan secara lisan dan libat urus kepada masyarakat.

“Setakat 31 Okt lepas, sebanyak 6,500 risalah telah diagihkan menerusi pelaksanaan IOW di sembilan daerah di seluruh Selangor dengan kerjasama agensi kerajaan tempatan dan komuniti setempat.

"Aktiviti hebahan itu meliputi Sabak Bernam (500 risalah), Kuala Selangor (500), Gombak (500), Kuala Langat (500), Sepang (500), Hulu Selangor (500), Klang (1,000), Hulu Langat (1,000) dan Petaling (1,500)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

 Cik Kazidi berkata program IOW satu daripada pendekatan komunikasi bersemuka kerajaan dalam memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat, pantas dan jelas mengenai dasar serta inisiatif semasa.

Beliau berkata program itu bukan sekadar penyampaian maklumat satu hala, tetapi turut memberi ruang kepada rakyat menyuarakan pandangan serta maklum balas terhadap dasar kerajaan, khususnya berkaitan Belanjawan 2026 dan BUDI95.

"Pendekatan turun padang ini seiring dengan agenda Komunikasi MADANI yang menekankan kebertanggungjawaban dan keterlibatan rakyat dalam memahami serta menilai pelaksanaan dasar kerajaan," katanya.

Terdahulu, Cik Kazidi menyertai 21 petugas JAPEN membuat hebahan IOW di sekitar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Petronas Seksyen 7, Pasar Besar Seksyen 6 dan dua restoran di Seksyen 10.

Program IOW turut dimeriahkan dengan aktiviti sokongan seperti Sembang Santai Komuniti MADANI, program kemasyarakatan dan aktiviti kemerdekaan bagi memperkukuh hubungan antara kerajaan dan masyarakat.

“IOW bukan sekadar medium penyampaian maklumat tetapi lambang komitmen kerajaan untuk mendekati rakyat dengan cara yang lebih terbuka, telus dan inklusif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan