KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Sejumlah RM7.88 bilion nilai pelaburan hijau berjaya dijana pada 2024 menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menanggung tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata jumlah itu disumbangkan oleh inisiatif Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA), Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) 4.0 serta penganjuran Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM).
Beliau berkata inisiatif itu turut menyumbang kepada penciptaan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan hijau pada 2024 manakala secara kumulatif, sektor berkenaan telah mewujudkan hampir 34,000 peluang pekerjaan setakat ini.
“Bagi jumlah 2004 itu, sumbangan termasuk komitmen pelaburan yang diraih menerusi siri IGEM sejak 2020 yang berjaya menjana lebih RM10 bilion potensi pelaburan hijau setakat ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenai pencapaian sasaran nilai penjanaan pelaburan hijau, bilangan peluang pekerjaan hijau bagi 2024 sepertimana dinyatakan dalam Pelan Strategik NRES 2024-2030 serta cabaran utama yang dihadapi untuk mencapai sasaran berkenaan.
Johari berkata pencapaian itu sejajar dengan sasaran pelan strategik berkenaan yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi hijau, tenaga boleh baharu dan peralihan ke arah industri rendah karbon.
Menjawab soalan tambahan Ahmad Samsuri mengenai kerjasama NRES dengan kementerian lain bagi memastikan pencapaian dilaporkan tidak hanya tertumpu kepada angka-angka menarik, Johari tidak menafikan mengenai cabaran utama yang perlu diatasi.
Menurutnya, ini termasuk akses pembiayaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kekurangan tenaga mahir dalam sektor teknologi hijau tempatan.
“Saya akui salah satu kebimbangan kita adalah akses kepada pembiayaan. Kerajaan boleh membiayai dari segi projek-projek berskala kecil, tapi kalau skala besar, (projek) ini mesti ada nilai ekonomi,” katanya.
Beliau berkata nilai sedemikian akan turut menarik pihak bank yang boleh menawarkan pembiayaan besar untuk turut sama terlibat.
“(Sebaliknya) apa yang berlaku hari ini adalah kita berdepan masalah yang mana syarikat-syarikat kecil dan sederhana tidak mendapat akses pembiayaan hijau ini,” katanya.
-- BERNAMA
