KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) telah memperoleh pembiayaan berjumlah RM1 bilion daripada HSBC Amanah Malaysia Bhd bagi menawarkan pembiayaan perumahan khusus untuk penjawat awam.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, LPSSA berkata kerjasama berkenaan merupakan satu pencapaian penting bagi inisiatif pendanaan alternatif pertama LPPSA yang mewujudkan fasiliti bukan Jaminan Kerajaan (GG) Pembiayaan Amaun Belum Terima Islam (RF-i).
“Inisiatif itu sejajar dengan tumpuan kerajaan terhadap usaha memperluas akses bagi pembiayaan perumahan bagi penjawat awam sambil menyediakan kaedah pembiayaan alternatif inovatif kepada badan-badan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Farid Nawawi menyifatkan pembiayaan itu membolehkan LPPSA memainkan peranan penting dalam membantu hampir 1.6 juta penjawat awam mendapatkan pembiayaan perumahan serta merealisasikan aspirasi memiliki kediaman mereka sendiri.
“Ini dapat dicapai dengan memastikan mereka mendapat akses kepada sumber diperlukan untuk menjamin pemilikan rumah pada masa akan datang serta mengukuhkan lagi disiplin fiskal kami seperti yang terkandung dalam Akta Tanggungjawab Fiskal,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Datuk Omar Siddiq pula berkata transaksi itu menunjukkan keupayaan inovatif serta kepakaran HSBC dalam penyelesaian perbankan transaksi patuh syariah yang pada masa sama memenuhi keperluan sektor perkhidmatan awam dengan berkesan.
Dalam pada itu, kenyataan itu menyatakan pembiayaan itu dapat menyumbang kepada aspek pengurusan hutang yang cekap dengan pengoptimuman pendedahan jaminan kerajaan.
“Ini ditambah pula dengan penyediaan akses pembiayaan perumahan untuk penjawat awam yang membolehkan inisiatif ini meninggalkan impak berkesan, bukan sahaja kepada penjawat awam itu sendiri tetapi juga terhadap kestabilan, kecekapan dan ekuiti di seluruh negara sejajar rangka kerja Malaysia MADANI,” katanya.
-- BERNAMA
