AM

KANAK-KANAK LELAKI TIGA TAHUN LEMAS DI KOLAM INAP DESA

03/11/2025 04:18 PM

ALOR GAJAH, 3 Nov (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia akibat lemas ketika mandi di sebuah kolam di inap desa di Durian Tunggal di sini, Sabtu lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah DSP Azrul Mohamed berkata kanak-kanak berkenaan dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu kira-kira 11.45 malam.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya akibat lemas dan ibu bapa kanak-kanak terbabit masing-masing berusia 36 tahun akan dipanggil pegawai penyiasat petang ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan kanak-kanak berkenaan bersama ibu bapa serta ahli keluarganya menyewa inap desa itu bagi meraikan program hari keluarga mereka.

Kanak-kanak itu ditemukan bapa dan ahli keluarganya dalam keadaan terapung sebelum mangsa cuba diselamatkan menerusi prosedur resusitasi kardiopulmonari (CPR) sementara menunggu ketibaan ambulans.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan