AM

MANGSA BANJIR DI KEDAH BERKURANGAN, PERAK KEKAL MALAM INI

01/11/2025 08:56 PM

KUALA LUMPUR, 1 Nov  (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Kedah mencatatkan penurunan manakala di Perak kekal dengan jumlah mangsa tidak berubah setakat malam ini.

Di KEDAH, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa berkurangan kepada 264 orang daripada 61 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 329 mangsa daripada 81 keluarga pagi tadi.

Semua mangsa dari daerah Pendang masih berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Intan Shafinaz.

Sementara itu, di PERAK, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Manjung kekal 124 orang daripada 33 keluarga, menurut Sekretariat JPBN negeri.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan memaklumkan paras air Sungai Kinta di daerah Kinta berada pada tahap amaran dengan bacaan 248.02 meter, melebihi paras normal 243.5 meter.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan