EKONOMI

CIMB SERTAI PASARAN BON PANDA DENGAN REKOD TERBITAN RMB3 BILION

31/10/2025 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- CIMB Bank Bhd membuat penampilan sulung dengan terbitan Bon Panda tiga tahun berjumlah 3.0 bilion renminbi (RMB; 100 RMB = RM58.94) di China Interbank Bond Market sekali gus menjadikannya terbitan bon peringkat tunggal terbesar oleh institusi Malaysia setakat ini.

Bank berkenaan berkata bon tersebut menawarkan kadar kupon tetap sebanyak 2.18 peratus dengan nilai perolehan kontrak yang kukuh iaitu berjumlah RMB4.64 bilion serta menyaksikan pengukuhan asas pelabur CIMB selain menarik minat pelabur institusi dari dalam dan luar negara.

Katanya, terbitan ini juga merupakan terbitan Bon Panda kedua terbesar oleh penerbit ASEAN dan ia mencatatkan kadar kupon terendah yang pernah direkodkan oleh penerbit ASEAN.

Menurut CIMB, bon itu diberikan penarafan AAA oleh China Chengxin Credit Rating Group.

Hasil bersih daripada terbitan ini akan digunakan terutamanya untuk mengembangkan perniagaan tempatan serta merentas sempadan CIMB bagi mengukuhkan perdagangan dan kewangan serantau dalam sektor strategik.

"Sebahagian daripada hasilnya akan disimpan di dalam negara bagi mengukuhkan pembangunan perniagaan CIMB di China selain menegaskan komitmennya terhadap pasaran China," kata bank berkenaan dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Novan Amirudin berkata permintaan yang kukuh daripada pelabur untuk terbitan Bon Panda bank ini mencerminkan keyakinan terhadap francais ASEAN CIMB yang pelbagai serta kekuatan kewangannya.

"Seiring dengan pelan hala tuju Forward30 kami, ia mengukuhkan komitmen syarikat bagi menyusun semula sumber bagi projek infrastruktur selain pembangunan mampan yang memberikan nilai jangka panjang serta pertumbuhan mampan di seluruh China, Malaysia dan rantau ASEAN yang lebih luas.

"Capaiannya yang penting ini mengukuhkan peranan CIMB sebagai jambatan di antara China dengan ASEAN selain menambah momentum kepada usaha kami untuk mempercepatkan integrasi kewangan dan mempromosikan pelaburan merentas sempadan serta perdagangan," katanya.

CIMB bekerjasama dengan konsortium yang terdiri daripada 11 institusi kewangan China, serantau dan antarabangsa bagi menyelesaikan terbitan Bon Panda dengan jayanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan