AM

PULAU PINANG BERI TUMPUAN KHUSUS AGENDA PERALIHAN TENAGA

31/10/2025 04:40 PM

GEORGE TOWN, 31 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang memberi tumpuan khusus kepada agenda peralihan tenaga dan usaha memperkukuh kecekapan tenaga dalam usaha melaksanakan pembangunan mampan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata peralihan tenaga bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi juga pemangkin kepada ekonomi hijau yang mampan dan usaha itu memerlukan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, industri, ahli akademik dan komuniti bagi memastikan tindakan yang diambil benar-benar membawa impak.

"Kerajaan negeri juga komited untuk memainkan peranan aktif dalam mendukung agenda tenaga bersih negara selepas memperkenalkan Rangka Kerja Tenaga Pulau Pinang sejak tahun lepas sebagai panduan pelaksanaan inisiatif tenaga boleh baharu (RE) di peringkat negeri.

"Malah, usaha kolektif Pulau Pinang membuahkan hasil yang ketara, iaitu antara 2019 dan 2024, intensiti tenaga dalam sektor pembuatan menurun 19 peratus setiap tahun, air 22 peratus dan sisa industri dihantar ke tapak pelupusan sampah (24 peratus)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Hijau Pulau Pinang 2025 di sini hari ini.

Sementara itu, Chow berkata sidang kemuncak yang dianjurkan Penang Green Council (PGC) bertemakan 'Melangkah Ke Arah Tenaga Lestari' adalah acara tahunan dan berfungsi sebagai platform untuk inspirasi, kerjasama dan tindakan kolektif menyatukan pembuat dasar, pemain industri, ahli akademik serta komuniti dalam memacu kemajuan yang mampan.

Beliau yang juga Pengerusi PGC berkata selaras Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pulau Pinang terus melangkah ke hadapan dan menjadi antara yang terawal mengambil tindakan konkrit untuk melaksanakan dasar itu di peringkat negeri, menjadikan aspirasi nasional satu realiti nyata dan boleh diukur.

Turut berlangsung pada sidang kemuncak itu adalah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan Alliance Bank Malaysia Berhad untuk mewujudkan Dana Mitigasi Iklim (CM Fund) peringkat negeri yang pertama di Malaysia.

Chow berkata inisiatif pembiayaan peralihan itu bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pertengahan (MTC) bergerak ke arah pengeluaran yang lebih lestari dan dana Mitigasi Iklim itu akan menawarkan kadar pinjaman istimewa serta program pembangunan kapasiti ESG, dengan memberi tumpuan kepada sektor seperti elektrik dan elektronik, peralatan perubatan, aeroangkasa dan lain-lain.

"Melalui kerjasama ini, PGC akan bekerjasama rapat dengan Alliance Bank dalam menetapkan kriteria kelayakan serta pemantauan bagi memastikan setiap pelaburan benar-benar menyumbang secara bermakna ke arah matlamat kita untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Hab Pembuatan Hijau," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan