KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Usaha menangani krisis perkahwinan dan cabaran institusi keluarga pasangan bukan Islam kini menampakkan keberkesanan menerusi Projek Rintis Badan Pendamai, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang mula diperkenal November tahun lepas.
Ia berikutan sejak dilaksanakan hingga September lepas terdapat 83 pasangan telah terlibat dan 16 peratus atau 13 pasangan telah berjaya didamaikan di bawah bimbingan LPPKN.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata projek itu adalah inisiatif inovatif yang menyatukan pendekatan kaunseling, intervensi dan perundangan dalam satu sistem yang lebih manusiawi dan efektif.
Beliau berkata projek tersebut diwujudkan berikutan kebimbangan terhadap peningkatan kes perceraian di negara ini yang keseluruhan merekodkan 62,890 kes pada 2022 berbanding 43,936 kes pada 2021 sebelum menurun kepada 57,835 kes pada 2023.
“Melalui projek ini, ia menjadi ruang praperundangan bagi membantu pasangan mencari penyelesaian sebelum kes difailkan di mahkamah melalui kaunseling bersama kedua-dua pihak, menyediakan platform kaunseling dan persidangan keluarga.
“Ia menjadi mekanisme pemerkasaan perkhidmatan sosial berasaskan data dan penyelidikan dengan lima geran penyelidikan bernilai RM240,000 sedang dijalankan bagi membangunkan intervensi yang berasaskan bukti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Rintis Badan Pendamai antara Jabatan Pendaftaran Negara dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Nancy berkata projek itu signifikan kerana menyatukan kepakaran JPN dalam pendaftaran perkahwinan dan perceraian bukan Islam dengan kepakaran LPPKN dalam memperkukuh institusi keluarga serta menyediakan kaunseling dan intervensi sosial.
Mengulas lebih lanjut mengenainya, Saifuddin Nasution berkata angka 16 peratus pasangan berjaya didamaikan adalah jauh lebih tinggi berbanding purata nasional iaitu hanya dua peratus pasangan berjaya didamaikan apabila kes dikendalikan sepenuhnya oleh JPN dalam 10 tahun kebelakangan ini.
“Kejayaan projek rintis di Kuala Lumpur tersebut menjadi pemangkin utama kepada pemeteraian memorandum antara JPN dan LPPKN hari ini. Memorandum berkuat kuasa untuk tempoh tiga tahun iaitu hingga 2028 dan akan memperluas projek rintis ke seluruh negara.
“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh fungsi JPN dan LPPKN dalam menyokong institusi kekeluargaan tetapi juga selaras dengan agenda Kerajaan MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan sosial, mewujudkan keharmonian masyarakat dan memperkukuh pembangunan keluarga sebagai asas negara maju dan berdaya tahan,” katanya.
-- BERNAMA
