AM

PEMBENTANGAN RUU KESELAMATAN SOSIAL PEKERJA PERKUKUH JARINGAN PERLINDUNGAN SOSIAL NEGARA

30/10/2025 08:03 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu supaya Rang Undang-Undang  (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 bagi memperluas perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja yang terlibat dalam kemalangan di luar waktu bekerja dan tidak berkaitan dengan pekerjaan, diluluskan tanpa penangguhan.

Presiden MTUC Datuk Abdul Halim Mansor juga mahu pelaksanaan RUU yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini, dipantau tanpa birokrasi dengan penyertaan kesatuan sekerja selain mahu kerajaan mengiktiraf ia sebagai hak asas pekerja dan bukan sekadar pilihan atau manfaat tambahan.

“MTUC juga menggesa kerajaan menetapkan tarikh kuat kuasa rasmi dan mekanisme pendaftaran mudah, bagi memastikan tiada seorang pun pekerja yang layak akan tercicir. Dalam pada itu, isu-isu birokrasi mestilah diminimumkan dan proses tuntutan perlu telus, cepat serta berpaksikan kepentingan pekerja,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau yang menyambut baik langkah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu dan menyifatkan ia kemajuan penting dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara, berkata pembentangan RUU itu merupakan hasil perjuangan MTUC selama 10 tahun, sekali gus membuktikan bahawa tuntutan kolektif kesatuan sekerja mendapat perhatian kerajaan.

“Bacaan pertama pada hari ini juga bukti bahawa KESUMA mendengar keluhan dan suara pekerja, serta menunjukkan komitmen terhadap sistem perlindungan sosial yang lebih adil dan menyeluruh untuk keluarga kaum pekerja,” katanya.

Abdul Halim berkata MTUC juga bersetuju untuk diadakan perbincangan bagi menentukan pelaksanaan dan mekanisma yang terbaik bagi menentukan caruman, selepas mengambil kira kepentingan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan pekerja, agar pelaksanaan RUU itu tidak menekan pendapatan pekerja.

Beliau berkata MTUC komited untuk terus bekerjasama dengan KESUMA, PERKESO dan semua pihak berkepentingan, bagi memastikan setiap pekerja di Malaysia menerima perlindungan 24 jam sama ada di dalam dan di luar waktu berkerja.

Bacaan kali pertama RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 dibentangkan Menteri Sumber Manusia Steven Sim hari ini dan bacaan kali kedua akan dibuat pada persidangan yang sama.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan