KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Pemergian mengejut Konduktor Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya, Allahyarham Mohd. Yazid Zakaria, hari ini disifatkan sebagai kehilangan permata besar kepada institusi berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya Mohd Johari Md Nordin berkata Allahyarham berkhidmat di Istana Budaya sejak tahun 2008 sebagai ahli muzik dan sepanjang tempoh itu mencatat pelbagai kejayaan membanggakan.
Antaranya, beliau menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Pengurusan dan Profesional) sempena Sambutan Hari Pekerja 2024, selain Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2016 dan 2024.
“Allahyarham juga sempat menyumbang bakti sebagai Pengarah Muzik dan Konduktor bagi persembahan Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak ASEAN ke-47,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Johari turut mendoakan semoga roh Allahyarham Mohd Yazid dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sebuah klinik di Seremban, Negeri Sembilan, kira-kira 11 pagi tadi selepas mengalami kekejangan otot dan rebah ketika menunggu untuk mendapatkan rawatan .
Allahyarham, 57, meninggalkan seorang isteri dan lima anak dengan anak sulung perempuannya bakal melangsungkan perkahwinan pada Sabtu ini.
Anak keempatnya, Ahmad Ariff Azhari Mohd Yazid, 23, sebelum ini dilaporkan berkata walaupun pihak klinik telah berusaha menjalankan rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR) berterusan dan pelbagai ikhtiar lain sementara menunggu ketibaan ambulans kecemasan, namun Allahyarham disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebooknya turut merakamkan ucapan takziah serta penghargaan atas sumbangan dan khidmat bakti Allahyarham dalam mengangkat martabat muzik, khususnya muzik tradisional negara.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Pengarah OTM itu dan menyifatkan Allahyarham sebagai permata serta pemimpin seni yang berkomited, berdedikasi serta disegani dalam dunia muzik tanah air.
-- BERNAMA
