PUTRAJAYA, 28 Okt (Bernama) -- Masalah pada sistem bekalan kuasa dikenal pasti menjadi punca gangguan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan gangguan itu berpunca daripada masalah pada sistem bekalan kuasa di bawah tanggungjawab kontraktor IJM-PESTEC Joint Venture (IPJM), yang turut menyebabkan gangguan sama pada 15 Okt lepas.
Menurut MAHB, Alstom selaku peneraju projek Aerotrain bersama IPJV dijangka mengemukakan laporan terperinci dan penjelasan berhubung dua insiden berkenaan.
“Malaysia Airports terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan tindakan pembetulan dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan,” menurut MAHB dalam kenyataan hari ini.
Walaupun berlaku gangguan, MAHB memberi jaminan operasi di KLIA kekal lancar sepanjang tempoh kritikal ini dengan merekodkan pergerakan 530,000 penumpang dan 3,400 penerbangan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan.
"Langkah proaktif telah diambil bagi mengurangkan sebarang kesan termasuk menempatkan sumber khusus serta kontraktor Aerotrain di lokasi sepanjang masa bagi memastikan pergerakan penumpang berjalan lancar,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata APAD telah diarahkan untuk membuka kertas siasatan terhadap MAHB susulan gangguan terbaru perkhidmatan Aerotrain hari ini.
Beliau berkata tindakan itu diambil berikutan perkhidmatan Aerotrain telah beroperasi selama beberapa bulan dan kementerian memandang serius setiap insiden gangguan yang berlaku.
-- BERNAMA
