KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail malam ini meraikan pemimpin ASEAN dan rakan dialog pada Majlis Makan Malam Gala sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Majlis itu menjadi platform bagi diplomasi budaya yang menonjolkan semangat keterangkuman dan solidariti dalam keluarga ASEAN.
Para pemimpin segak mengenakan kemeja diperbuat daripada kain Tenun Pahang Diraja, hasil kerja tangan penghuni Penjara Bentong.
Makan malam itu turut meraikan hari jadi ke-80 Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva yang kelihatan terharu ketika memotong kek di sebelah Anwar, sambil lagu ‘Happy Birthday’ didendangkan oleh kumpulan pemuzik Trupe De DomMarina.
Tetamu dihiburkan dengan persembahan kebudayaan oleh para penari cilik daripada negara-negara angota ASEAN yang menampilkan warisan seni tari negara masing-masing, selain persembahan daripada artis terkemuka Malaysia termasuk Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M. Nasir dan Dayang Nurfaizah.
Alunan muzik oleh tiga kumpulan orkestra iaitu Orkestra Tradisional Malaysia, Orkestra Simfoni Kebangsaan dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) yang mengiringi artis seni pasir Bernice Wong dari Pulau Pinang melakar monumen ikonik rantau ini juga mencuri perhatian hadirin.
-- BERNAMA
