AM

PERKASA APG ANTARA KEUTAMAAN MALAYSIA SELAKU PENGERUSI ASEAN - TPM FADILLAH

27/10/2025 07:30 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Memperkukuh GridTenaga ASEAN (APG) antara fokus keutamaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, satu inisiatif strategik memperteguh integrasi pasaran tenaga serantau, keselamatan tenaga bersama, serta mengoptimumkan sepenuhnya potensi sumber tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kelulusan Memorandum Persefahaman (MoU) APG yang dipertingkatkan, Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga 2026-2030 dan Inisiatif Pembiayaan APG merupakan langkah berani ke arah rangkaian tenaga saling berkait menyeluruh menjelang 2045.

“Dengan projek yang menghubungkan Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura (LTMS) serta Vietnam dan rantau Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP), kita sedang merealisasikan visi ini kepada tindakan dan menggerakkan ASEAN ke arah masa hadapan lebih bersih, berdaya tahan dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sambutan “United Nation Day 2025: Our Shared Journey” di luar Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang turut dihadiri Setiausaha Agungnya Antonio Guterres hari ini.

Malaysia juga komited untuk mencapai sasaran sifar bersih pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) menjelang 2050 sekali gus memperkukuh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Pelan berkenaan menggariskan hala tuju Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon, menyasarkan  kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 70 peratus menjelang 2050.

Fadillah berkata Malaysia merancang mengemukakan Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) 3.0 sebelum berlangsungnya Persidangan ke-30 Pihak-Pihak (COP30) kepada Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Belm, Brazil pada November ini.

“Dokumen NDC yang dikemas kini mencerminkan aspirasi iklim Malaysia yang dipertingkatkan selaras  dengan tindakan negara di bawah UNFCCC dan Perjanjian Paris,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata satu penghormatan apabila Hari PBB disambut di Malaysia dan di bawah kepimpinan Guterres PBB kekal sebagai suara utama bagi keamanan dan keselamatan, pembangunan mampan serta hak asasi manusia.

Beliau berkata pada peringkat serantau, Malaysia terus memperkukuh peranan ASEAN sebagai rakan konstruktif dan boleh dipercayai dalam sistem multilateral.

“Selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia yakin kerjasama serantau memainkan peranan penting dalam memperkukuh dan melengkapi rangka kerja multilateral antarabangsa.

“Di luar rantau ini, komitmen berterusan Malaysia terhadap PBB dapat dilihat melalui rekod penyertaan dalam operasi pengaman. Pada masa ini, lebih 800 anggota pengaman Malaysia berkhidmat dalam lima operasi pengaman dan satu misi politik khas di seluruh dunia,” kata beliau.

Sementara itu, Guterres berkata Malaysia sentiasa mengamalkan pendirian yang bebas dan tidak berat sebelah serta memperlihatkan solidariti luar biasa terhadap golongan yang tertindas.

“Saya amat menghargai peranan berterusan Malaysia dalam komuniti antarabangsa, mempertahankan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib dan menubuhkan negara sendiri, serta mempertahankan hak rakyat Rohingya di Myanmar,” katanya.

Beliau berkata setiap tahun PBB menyediakan bantuan makanan kepada lebih 150 juta orang, membekalkan vaksin kepada 45 peratus kanak-kanak di seluruh dunia dan menyokong pilihan raya di puluhan negara.

“Sepanjang lapan dekad bergelumang dengan pelbagai cabaran, PBB telah mengharunginya, ini membuktikan bahawa kerjasama mampu mengatasi segalanya walaupun pada saat paling kelam dalam sejarah kemanusiaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan