AM

KPM PERKENAL MODUL KHAS TINGKAT KESIAPSIAGAAN WARGA SEKOLAH HADAPI MTL

27/10/2025 06:00 PM

JOHOR BAHRU, 27 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan Modul Pendidikan Pengurangan Risiko Bencana (DRR) bagi memperkukuh kesiapsiagaan warga sekolah menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.

Ketua Setiausahanya Dr Aminuddin Hassim berkata modul itu menjadi antara komponen utama dalam Program Kesiapsiagaan KPM Menghadapi MTL 2025/2026, yang dirangka bagi meningkatkan keupayaan sektor pendidikan berdepan risiko bencana seperti banjir, tanah runtuh dan ribut.

Beliau berkata pelaksanaan modul itu merangkumi tiga fasa utama iaitu pendedahan awal, latihan berterusan bersama agensi pengurusan bencana serta pengedaran buku modul sebagai rujukan dan panduan rasmi kepada guru dan murid di seluruh negara.

“Fasa pertama memberi pendedahan awal kepada warga sekolah menghadapi bencana menerusi program kesiapsiagaan seperti hari ini, manakala fasa kedua melibatkan latihan dan simulasi pengurusan bencana yang dikendalikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dari semasa ke semasa.

“Fasa ketiga menekankan penggunaan modul ini dalam kurikulum dan program sekolah supaya murid bukan sahaja faham apa itu bencana, tetapi tahu risiko serta cara bertindak dengan selamat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program itu di sini hari ini.

Aminuddin berkata pendekatan proaktif  itu diambil berikutan Malaysia berdepan musim banjir hampir setiap hujung tahun yang menjejaskan pelbagai negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata berdasarkan data NADMA, terdapat kira-kira 9,000 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara dan 60 peratus daripadanya beroperasi di kawasan sekolah yang dilengkapi kemudahan asas seperti dewan, bilik darjah, bilik air dan kantin.

“Sekolah menjadi nadi penting dalam pengurusan bencana, sebab itu kita mahu warga sekolah bukan sahaja bersedia sebagai mangsa, tetapi juga mampu berperanan sebagai penyelaras bantuan di peringkat komuniti,” katanya.

Menurutnya KPM turut menjalin kerjasama strategik dengan NADMA menerusi Rakan NADMA yang menghimpunkan sukarelawan daripada kalangan guru, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) serta murid Tingkatan Enam, Skuad Ihsan MADANI.

Beliau berkata Modul DRR itu tidak hanya memberi tumpuan kepada banjir, tetapi turut merangkumi pelbagai bentuk bencana lain seperti tanah runtuh, ribut, gempa bumi kecil dan tsunami bagi membentuk kefahaman menyeluruh mengenai risiko bencana dalam konteks tempatan.

Sementara itu, Aminuddin berkata KPM turut menyediakan pelan kontingensi bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk pemindahan calon ke asrama, penyediaan pusat peperiksaan alternatif serta kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan calon terjamin.

“Gerak kerja segera akan digerakkan sekiranya berlaku banjir, dengan semua agensi berkaitan digabungkan sebagai satu pasukan bagi memastikan peperiksaan berjalan dengan lancar,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan