AM

MODUL KARAKTER MURID JOHOR DITERUSKAN, TAMBAH ELEMEN ANTIBULI - EXCO

27/10/2025 04:49 PM

KULAI, 27 Okt (Bernama) -- Kerajaan Johor bercadang memasukkan elemen antibuli dalam Modul Karakter Murid Johor (KrMJ) sebagai usaha memperkukuh sahsiah dan disiplin pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata kerajaan negeri akan meneruskan KrMJ walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) berhasrat memperkenalkan subjek pendidikan karakter di peringkat nasional.

“Kita sedang ubah suai dan perkemas modul KrMJ supaya lebih mampan. Antara yang akan dimasukkan ialah modul antibuli selain aspek pengurusan emosi dan nilai moral supaya pelajar bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berperibadi baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran “Pendidikan Literasi Digital Yayasan JCorp - Membina Generasi Sedia Masa Hadapan” di sini hari ini. 

Modul KrMJ yang diperkenal pada 2017 merupakan inisiatif Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor yang berperanan sebagai panduan pelaksanaan aktiviti berasaskan 10 karakter utama termasuk patriotik, kepimpinan, keterampilan diri, teknologi dan sukarelawan.

Aznan berkata Johor mempunyai kelebihan kerana pelaksanaan KrMJ turut disokong oleh sekolah agama negeri yang berperanan besar dalam memperkukuh disiplin dan pembentukan karakter pelajar.

“Gabungan KrMJ di bawah JPN dan sekolah agama negeri Johor banyak membantu kita mengurangkan salah laku dan membentuk pelajar berakhlak,” katanya.

Mengulas perkembangan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), Aznan berkata kerajaan negeri masih mengekalkan empat sekolah rintis sedia ada bagi menilai keberkesanan inisiatif berkenaan sebelum diperluas ke sekolah lain.

“Untuk SRBJ, kita ada program mentor menti antara sekolah rintis dengan Sekolah Tun Fatimah (STF) dan Sekolah Sultan Ismail (SSI). STF bantu pelajar dari gred C ke A, manakala SSI bantu yang gagal ke lulus.

“Program ini bermula pertengahan tahun ini melalui tiga siri Perkampungan Ilmu dan akan dinilai menerusi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 kumpulan pertama pelajar SRBJ,” katanya.

Ditanya mengenai Belanjawan Johor 2026, beliau berkata sektor pendidikan kekal menjadi tumpuan utama kerajaan negeri dengan beberapa pengumuman penting dijangka dibuat oleh Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 13 Nov ini.

“Fokusnya bukan sahaja pada akademik, tetapi juga pembangunan karakter, literasi digital dan pembangunan bakat anak muda Johor melalui pelbagai inisiatif seperti Majlis Pembangunan Bakat Johor,” katanya.

Terdahulu, Aznan menyerahkan 24 set komputer riba kepada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sayong Pinang hasil sumbangan Yayasan Jcorp dengan kerjasama Affin Bank, melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah kira-kira RM143,000 termasuk masing-masing 20 unit untuk SK Sikijang dan SK Belokok.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan