KUNAK, 26 Okt (Bernama) -- Kira-kira satu tan sampah berjaya dikutip menerusi Kempen Cabaran Bumi Bersih yang berlangsung di Kampung Pangkalan Laut di sini semalam, hasil kerjasama lebih 100 sukarelawan terdiri daripada pelajar tahfiz, Sahabat Yayasan Pembangunan Malaysia (YPM) dan penduduk tempatan.
Program gotong-royong berkenaan dianjurkan oleh Ma’haad Tahfiz Ashabul Yamin dan ditaja sepenuhnya oleh Penyelaras TVET Parlimen Lahad Datu Datuk Seri Anil Sandhu.
Anil berkata program itu turut menyokong tiga Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) iaitu SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi), SDG 13 (Tindakan Iklim) dan SDG 14 (Kehidupan Bawah Air), bagi memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata penglibatan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar tahfiz, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat mencerminkan semangat kesukarelawanan yang tinggi demi kesejahteraan bersama.
“Kita harus faham pangkalan ini daripada dulu wujudnya, kita tidak ada sistem saliran yang betul. Menjaga kebersihan bukan sekadar aktiviti gotong-royong tetapi satu tanggungjawab moral dan sosial. Bila kampung kita bersih, minda kita juga bersih dan itu permulaan kepada perubahan besar dalam masyarakat,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau turut menyeru lebih banyak NGO dan masyarakat umum untuk turut serta dalam gerakan kebersihan komuniti sebagai tanggungjawab bersama menjaga alam sekitar.
“Kalau persekitaran kita tidak bersih, macam mana kita nak hidup dengan sihat dan juga hirup udara yang bersih. Jadi, saya bagi cabaran dengan masyarakat atau NGO-NGO yang lain, datang turun beramai-ramai, bantu kita bersihkan daerah mana-mana yang terjejas dengan kotor,” katanya.
Beliau berkata kempen itu bukan sahaja memperindahkan persekitaran kampung nelayan itu, malah diharap menjadi pemangkin kepada gerakan kesedaran sivik yang lebih meluas di Kunak dalam memelihara kebersihan dan kesejahteraan komuniti setempat.
-- BERNAMA
