KUALA NERUS, 25 Okt (Bernama) -- Ulama dan ilmuan diseru menjadi suara menenangkan, bukan mengelirukan kerana mereka berperanan sebagai jambatan yang menyatukan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata tautan kasih sayang yang telah sekian lama dibina oleh ulama dan ilmuan silam perlu diteguhkan oleh golongan agamawan.
“Cukup-cukuplah kita berbalah sesama sendiri, meniup sentimen kebencian atas nama agama, berperang di media sosial, mengapi-apikan berita fitnah sehingga memecahbelahkan keluarga dan masyarakat.
“Akhirnya bak peribahasa ‘yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang’. Ia langsung tidak membawa apa-apa manfaat kepada agama, negara dan ummah,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Ulama dan Ilmuwan Malaysia-Terengganu 1.0 (KUIM) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.
Turut hadir, Penasihat Agama Kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dan Tokoh Ulama Hadis Jordan yang juga Pengerusi Global Al-Quds Antarabangsa Syeikh Dr Hammam Abdul Raheem Said Melhem.
Sementara itu, Mohd Na'im berkata para ulama, asatizah serta golongan ilmuan perlu aktif berperanan untuk membangunkan masyarakat dengan asas ilmu pengetahuan sekali gus tampil ke hadapan berbicara tentang isu sosial, ekonomi, teknologi serta hal kemasyarakatan.
Beliau berkata ulama juga perlu mengemukakan penyelesaian berpaksikan ilmu wahyu dalam laras bahasa yang mudah difahami masyarakat.
“Inilah peranan sebenar ulama yang dihormati kerana kebijaksanaan dan ketelusan mereka dalam membimbing umat. Mana-mana pemikiran ekstrem seperti fitnah-memfitnah, benci membenci apatah lagi sikap kafir-mengkafirkan sesama Muslim perlulah dibendung dengan bersungguh-sungguh demi kesejahteraan dan kemakmuran negara.
“Kita semua seharusnya merapatkan saf membangunkan ummah MADANI yang hidup penuh rahmah dalam kemajmukan, inklusif, berkasih sayang serta saling menghormati bersulamkan aplikasi ‘Fiqh Ta’ayush’,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Nai’m menyeru para ulama, asatizah serta ilmuan agar bersama-sama berganding bahu dengan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan syiar Islam terus mekar di negara ini.
--BERNAMA
