AM

THAILAND PUJI PERANAN PROAKTIF MALAYSIA PACU AGENDA SERANTAU

25/10/2025 07:36 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia telah menjadi pemacu utama agenda bersama blok serantau itu di bawah kepimpinan proaktif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow.

Beliau berkata Malaysia telah memainkan peranan penting dalam memajukan ASEAN untuk menangani cabaran serantau termasuk konflik di Myanmar dan ketegangan sempadan Thailand-Kemboja.

“Sejak hari pertama (Malaysia) memegang tampuk kepengerusian, Perdana Menteri Anwar telah menjadi pengerusi ASEAN yang sangat proaktif dan beliau telah menetapkan agenda yang sangat penting,” katanya dalam temu bual ekslusif bersama Bernama di sini.

Sihasak berkata Malaysia telah memainkan peranan penting dalam mempermudah usaha menyelesaikan pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand.

“Mesyuarat telah diadakan pada saat yang genting. Kami berharap dapat memeterai deklarasi di Kuala Lumpur yang akan membuka lembaran baharu dalam hubungan kami dengan Kemboja,” katanya.

Ketegangan antara Thailand dan Kemboja memuncak kepada konfrontasi ketenteraan di kawasan sempadan Oddar Meanchey dan Preah Vihear pada 24 Julai lepas, sebelum kedua-dua pihak bersetuju mengadakan gencatan senjata selepas usaha rundingan dicetuskan oleh Malaysia di Putrajaya pada 28 Julai.

Anwar menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan ketegangan di sempadan bersama kedua-dua negara itu.

Gencatan senjata itu yang disifatkan sebagai kejayaan besar ASEAN telah melindungi ribuan rakyat dan mencegah ketegangan di sempadan yang semakin meningkat.

Mengenai isu serantau yang lebih luas, Sihasak berkata ASEAN perlu menghadapi kemerosotan multilateralisme serta peningkatan dasar perlindungan di tengah-tengah persaingan yang semakin hebat antara kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Kita sedang menyaksikan peningkatan dasar perlindungan dan unilateralisme, namun tarif dikenakan Trump mencerminkan trend tersebut. Kita perlu mengatasi cabaran ini secara bersama. Meskipun setiap daripada kita mungkin berunding secara sendiri dengan AS, isu ini lebih luas daripada sekadar tarif,” katanya.

Beliau berkata ASEAN juga perlu merancang dan mempelbagaikan strategi dengan memperkukuh integrasi ekonomi serantau serta meneroka bidang baharu seperti ekonomi digital.

“Masih banyak yang boleh kita lakukan dan ASEAN perlu bertindak tegas dalam memasuki bidang baharu ini,” katanya.

Sihasak berkata Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Isnin ini menawarkan peluang tepat untuk negara anggota mengulangi komitmen mereka terhadap perdagangan terbuka dan keterhubungan serantau.

“RCEP berperanan sangat penting dalam mengekalkan perdagangan bebas dan pada sidang kemuncak ini, kami akan meningkatkan kerjasama ekonomi ASEAN ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata ASEAN terus memainkan peranan penting bukan sahaja dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau, tetapi juga dalam memupuk kestabilan di luar rantau.

“Di sini (Kuala Lumpur) kami akan mengadakan sidang kemuncak bersama-sama rakan utama - China, AS, Jepun, Korea Selatan dan Australia, sekali gus menjadikan pertemuan ini sebagai satu daripada perhimpunan strategik yang paling penting di rantau ini.

“Sidang Kemuncak Asia Timur, khususnya menyediakan platform unik untuk pemimpin bagi membincangkan isu serantau utama dan global yang menjadi kepentingan bersama,” katanya.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bermula esok hingga Selasa, menghimpunkan pemimpin ASEAN dan rakan dialog termasuk AS, China, Jepun dan Korea Selatan.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan