AM

PRASARANA JENAMA SEMULA ENAM PAS RAPID DALAM BAHASA MELAYU

25/10/2025 05:45 PM

SUBANG JAYA, 25 Okt (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menjenamakan semula enam pas perjalanan Rapid dengan nama baharu dalam Bahasa Melayu bagi memudahkan pengguna mengenali dan memahami produk sedia ada.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Amir Hamdan berkata, langkah itu merupakan strategi penting bagi menyeragamkan identiti jenama Rapid di seluruh rangkaian perkhidmatan pengangkutan awam kendalian syarikat berkenaan.

“Penjenamaan semula ini bukan sekadar penyegaran visual, tetapi juga langkah strategik untuk memperkukuh jenama Rapid agar lebih mudah difahami pengguna, selain selaras dengan saranan kerajaan memperkasa penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran penjenamaan semula pas Rapid dan kempen #RakanRapid di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Perindustrian Puchong di sini hari ini.

Beliau berkata enam pas yang dijenamakan semula itu ialah Rapid Kembara (sebelum ini Pas MyTourist), Rapid Kota (Pas MyCity), Rapid Mesra (Pas OKU Smile), Rapid Keluarga (Pas Keluarga Malaysia), Rapid Pelajar (MyRapid Pelajar) dan Rapid Emas (MyRapid Warga Emas).

Amir menjelaskan tiada perubahan dari segi kadar harga, struktur penggunaan mahupun proses pembaharuan bagi pas sedia ada, manakala pengguna baharu akan mula menerima kad dengan penjenamaan baharu secara berperingkat mulai 1 Nov ini.

“Pengguna sedia ada tidak perlu menukar kad lama atau membuat pembelian baharu. Proses pembaharuan kekal seperti biasa dan baki nilai sedia ada masih boleh digunakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata penjenamaan semula pas perjalanan itu juga seiring dengan usaha meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam, terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat melihat peningkatan jumlah pengguna tempatan serta pelancong antarabangsa, selaras dengan visi Prasarana menjadikan pengangkutan awam sebahagian daripada gaya hidup warga kota yang progresif dan berdaya saing,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amir memaklumkan peraduan ‘Jom Ride & Menang 2.0’ akan berlangsung selama tiga bulan bermula hari ini hingga 24 Jan 2026, terbuka kepada semua pengguna Rapid KL tanpa tunai.

“Pemenang akan dipilih berdasarkan jumlah kekerapan perjalanan tertinggi dan pelbagai hadiah menarik menanti mereka. Peraduan ini bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama,” katanya.

--  BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan