KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- ASEAN kekal sebagai pasaran penting bagi Afrika Selatan memandangkan negara itu berhasrat meningkatkan perdagangan dan pelaburan di rantau ini, kata presidennya Matamela Cyril Ramaphosa.
Beliau berkata Afrika Selatan bersedia untuk saling belajar dan berkongsi kepakaran dengan ASEAN bagi meningkatkan sektor utama seperti teknologi dan infrastruktur.
“ASEAN penting bagi kami (Afrika Selatan)… kami mempunyai banyak perkara untuk dikongsikan dengan ASEAN dan terdapat banyak aktiviti perdagangan antara kami. Kami ingin ia meningkat selain berkongsi kepakaran dengan lebih luas.
“Negara anggota ASEAN telah mencapai perkembangan yang luar biasa dalam pelbagai bidang meliputi teknologi, infrastruktur dan pemodenan ekonomi mereka, kami ingin menimba pengalaman daripada pencapaian terbabit,” katanya.
Ramaphosa berkata demikian pada sesi panel bertajuk Leader Fireside Chat yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah Standard Chartered Bank Malaysia Mak Joon Nien, pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
ABIS 2025 diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Ramaphosa berkata Afrika Selatan berhasrat untuk berkongsi pengalaman mereka sebagai sebuah negara membangun dengan ASEAN, khususnya dalam meningkatkan nilai tambah kepada barangan.
“ASEAN menambah nilai pelbagai bahan mentahnya seperti dalam sektor pembuatan dan transformasi teknologi. Di Afrika Selatan, kami juga mempunyai kelebihan dalam bidang mineral dan pengeluaran makanan yang ada di negara kami.
“Terdapat pelbagai perkara yang kita boleh kongsi bersama dan kami percaya kita mampu belajar lebih banyak dari segi tambah nilai kepada barangan,” katanya.
Beliau berkata lawatan rasminya ke Malaysia merupakan peluang untuk menjalin hubungan dengan pelbagai pemimpin perniagaan, sekali gus diharapkan dapat ditarik untuk melabur ke Afrika Selatan.
“Sehubungan dengan itu, kami amat berbesar hati kerana diundang untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 oleh pengerusi (Malaysia) dan kami berharap dapat terus menyertainya pada masa akan datang,” katanya.
Ramaphosa tiba di Malaysia semalam untuk mengadakan lawatan rasmi empat hari atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai tetamu pengerusi.
Beliau juga akan menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada esok manakala dijadualkan menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 serta menghadiri majlis makan malam gala anjuran Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Isnin.
Pada 2024, Afrika Selatan disenaraikan sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia di Afrika, dengan perdagangan dua hala berjumlah RM7.82 bilion (USD1.71 bilion).
Eksport Malaysia ke Afrika Selatan bernilai RM3.84 bilion (USD840 juta) manakala import berjumlah RM3.98 bilion (USD870 juta).
-- BERNAMA
