AM

KUALA LUMPUR BAKAL JADI PUSAT DIPLOMASI GLOBAL PADA SIDANG KEMUNCAK ASEAN

25/10/2025 02:54 PM

Komentar Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Kuala Lumpur bakal menjadi pusat diplomasi global hujung minggu ini apabila Malaysia menjadi tuan rumah kepada pelbagai mesyuarat berprofil tinggi, rundingan perdagangan dan usaha damai sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Di tengah-tengah segala tumpuan ini ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebagai tuan rumah, akan mempertemukan pemimpin ASEAN dan dunia ketika ibu negara Malaysia menyaksikan detik bersejarah, pihak yang sebelum ini bermusuhan duduk semeja berunding ke arah keamanan, memeterai perjanjian serta memperkukuh integrasi ekonomi serantau.

Antara tumpuan utama, pertemuan antara dua kuasa ekonomi besar, China dan Amerika Syarikat (AS), di tengah-tengah ketegangan perdagangan dua hala yang semakin meningkat, selain perjanjian damai Thailand-Kemboja yang diusahakan Malaysia dan dijangka disaksikan oleh Anwar serta Presiden AS Donald Trump.

Seluruh tumpuan dunia kini terarah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung dari 26 hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dan sama ada sejarah bakal tercipta di sini.

Sekiranya perjanjian antara Thailand dan Kemboja ditandatangani, ia akan menandakan kejayaan penting bagi kedua-dua komitmen berterusan ASEAN ke arah penyelesaian konflik serantau secara aman melalui rundingan dan persefahaman bersama dan bagi peranan Malaysia sebagai tuan rumah dalam menjayakan perkara ini.

Kemungkinan pertemuan antara Trump dan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva juga penting untuk meredakan ketegangan yang telah berlarutan beberapa bulan, susulan pertikaian perdagangan dan tarif eksport utama Brazil ke Washington.

Sekiranya pertemuan itu menjadi kenyataan, ia akan menjadi langkah penting dalam menstabilkan semula hubungan perdagangan antara dua ekonomi terbesar di benua Amerika.

Sebagai tetamu Pengerusi ASEAN, lawatan rasmi pertama Presiden Lula da Silva ke Malaysia sejak memulakan penggal baharu pada Januari 2023 dijangka menjadi kunjungan bersejarah ke arah hubungan lebih baik dengan Washington.

Siri acara sampingan berprofil tinggi yang berlangsung di Kuala Lumpur hujung minggu ini turut mendapat perhatian dunia, dengan penganalisis berpendapat Malaysia kini muncul sebagai kuasa penyeimbang yang berperanan besar dalam mempromosi keamanan dan perdagangan adil.

Inisiatif Kuala Lumpur ini mencerminkan peranan diplomatik Malaysia yang aktif dalam ASEAN serta bersama rakan dialog, dalam memudah cara perbincangan dan mengukuhkan kestabilan politik sejajar dengan prinsip konsensus dan dasar tidak campur tangan blok tersebut.

 

Diplomasi pelbagai peringkat digerakkan

 

Lebih 30 ketua negara dan kerajaan akan berhimpun di sini bagi membincangkan keamanan serantau, kerjasama ekonomi, ketahanan, integrasi dan pertumbuhan inklusif di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Antara pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak, Naib Perdana Menteri China He Lifeng, Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa, Presiden Timor-Leste Jos Ramos-Horta bersama Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao, serta Perdana Menteri India Narendra Modi (yang akan menyertai secara maya).

Turut hadir Menteri Luar Finland Elina Valtonen, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas, serta Menteri Luar Indonesia Sugiono dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Djamari Chaniago.

Pemimpin lain termasuk Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, Perdana Menteri baharu Jepun Sanae Takaichi dan Perdana Menteri Kanada Mark Carney.

Terdapat harapan tinggi bahawa penganjuran sidang kemuncak ini akan memperlihatkan kejayaan Malaysia dalam meredakan ketegangan global yang sedang berlaku.

China turut mengesahkan bahawa ekonomi kedua terbesar dunia itu akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent dan Wakil Perdagangan Jamieson Greer bermula Jumaat bagi membincangkan isu tarif dan sekatan Beijing terhadap eksport nadir bumi.

ASEAN dan AS pula dijangka memperkukuh kerjasama ekonomi menerusi pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART), dengan rundingan yang diadakan bersama ASEAN bakal membuka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi dua hala.

 

Keneutralan Malaysia perkukuh peranan sebagai pendamai global

 

Pensyarah Kanan Universiti Kuala Lumpur Business School, Prof Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata pemeteraian ART akan memastikan produk dari ASEAN, terutamanya dalam sektor pembuatan dan pertanian, menerima layanan adil daripada pihak berkuasa AS.

“Pendekatan berkecuali Malaysia membolehkannya muncul sebagai pendamai de facto bagi negara yang bersaing untuk pengaruh ekonomi.

“Malaysia mampu menyediakan landasan dan platform ekonomi bagi membolehkan negara-negara mencari penyelesaian yang saling menguntungkan demi kepentingan ekonomi global,” katanya kepada Bernama.

Malaysia sendiri dijangka menandatangani perjanjian tarif timbal balas dengan AS semasa sidang kemuncak itu, yang akan memberi manfaat kepada sektor pertanian, perindustrian dan pembuatan, selain pemain perdagangan dan pelaburan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata rundingan yang sedang berlangsung pastinya menyumbang ke arah integrasi ekonomi global yang lebih kukuh, dengan mengambil kira kepentingan domestik serta mencapai hasil yang lebih saksama bagi semua pihak terlibat.

“Kita mempunyai pelbagai perjanjian perdagangan pelbagai hala dan dua hala seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta perjanjian perdagangan bebas, yang mempunyai pertindihan dan memerlukan rundingan lanjut bagi mencapai penyelesaian menang-menang,” katanya.

Justeru, katanya, Sidang Kemuncak ASEAN merupakan platform terbaik untuk menonjolkan komitmen Malaysia terhadap perdagangan dan komersial global, selain peranannya sebagai kuasa penyeimbang di tengah-tengah ketegangan perdagangan dunia.

Sidang kemuncak ini juga dilihat sebagai peluang penting bagi kuasa ekonomi besar dan ekonomi utama dunia untuk duduk semeja membincangkan cabaran yang dihadapi ekonomi serantau dan global.

Ini sekali gus membuka ruang kepada pesaing ekonomi untuk mencapai persefahaman bersama demi manfaat bersama.

Syabas kepada Malaysia dan Anwar atas kejayaan menghimpunkan pemimpin dunia di Kuala Lumpur, kerana tiada yang dapat menandingi nilai pertemuan secara bersemuka dalam usaha mencapai keamanan dan kemakmuran ekonomi.

Malaysia sememangnya telah mengambil langkah tepat dalam menyediakan landasan penting untuk menyuntik semula kestabilan dalam suasana global yang bergolak ketika ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan